SEPANG – Cubaan tiga warga India untuk menyeludup dadah jenis Metamphetamine ke Malaysia menggunakan taktik menyembunyikan dadah berkenaan di dalam bekas bedak talkum dan ruang dapur gas mudah alih, dipatahkan dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T.Subromaniam berkata dua kes yang ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA dalam tempoh dua minggu pertama 2018 itu merekodkan nilai rampasan dadah lebih 15kg dengan nilai RM1.09 juta.
Dalam kes pertama pada 4 Januari di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (klia2), dadah seberat 10.50 kg dianggarkan bernilai RM735,000 ditemui di dalam bekas talkum ketika pemeriksaan dilakukan terhadap dua bagasi yang tiba melalui penerbangan AirAsia dari Chennai, India pada 7.30 pagi.
“Kalau dilihat dari luar memanglah nampak macam bekas bedak biasa. Namun selepas penutup utama dibuka dan kandungan di dalam bekas diperiksa, dadah dalam bentuk serbuk berwarna putih ditemui,” katanya dalam sidang media di pejabat JKDM KLIA di sini hari ini.
Susulan itu, beliau berkata dua wanita warga India yang merupakan adik-beradik berusia 30 dan 31 tahun ditahan berkaitan kes berkenaan.
Dalam kes kedua, Subromaniam berkata pemeriksaan terhadap dua kotak berisi beberapa dapur gas mudah alih yang tiba di KLIA dari Thiruchirapalli, India melalui penerbangan Malindo Air pada 6.10 petang 11 Januari menemui 5.20 kg dadah bernilai RM364,000.
“Dadah berkenaan disorok di dalam (ruang yang terdapat) pada bahagian dalam ‘gas stove’ tersebut,” katanya.
Dalam kes berkenaan, seorang lelaki warga India berumur 32 tahun ditahan.
Subromaniam berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mengulas kejayaan JKDM KLIA di awal tahun itu, Subromaniam menyifatkan ia hasil kecekapan pasukan pengurusan risiko JKDM yang boleh menilai dan mengesyaki penumpang yang membawa dadah.
Beliau berkata JKDM juga sudah berbincang dengan pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Kuala Lumpur ekoran terlalu banyak kes melibatkan rakyat negara tersebut yang dikesan cuba membawa masuk dadah ke negara ini.
Pada 2017, terdapat lapan kes cubaan menyeludup dadah ke negara ini melibatkan warga India.
Antara yang dicadangkan ialah supaya penumpang dari India ke Malaysia menjalani saringan sebelum berlepas atau langkah untuk menguar-uarkan maklumat bahawa tindakan membawa dadah ke Malaysia adalah satu kesalahan jenayah, katanya.
Pada sidang media itu, Subromaniam turut mengumumkan kejayaan JKDM mematahkan cubaan menyeludup matawang yang tidak diikrarkan pada Khamis lepas yang disembunyikan di dalam patung beruang (teddy bear).
Cubaan menyeludup itu melibatkan 1,020 keping matawang dolar Taiwan denominasi NT$1,000 bernilai lebih kurang NT$1.02 juta iaitu kira-kira RM136,502.94.
“Wang tunai berkenaan dalam bentuk beberapa ikat diisi ke dalam teddy bear bersaiz kira-kira 50cm sebelum dijahit dari luar,” katanya.
JKDM turut menahan dua lelaki warga Nigeria berumur 29 dan 30 tahun kerana gagal mengikrar wang tunai bernilai lebih US$10,000 yang dibawa, katanya. – BERNAMA

