LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama dua nelayan warga Myanmar di 4.4 batu nautika barat daya Pulau Talang, di sini, petang semalam.
Pengarah Maritim Daerah Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata bot nelayan tersebut ditahan Bot Petir 80 yang sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di Perairan Malaysia kira-kira 5.20 petang semalam.
Katanya pemeriksaan mendapati kedua-dua tekong dan awak-awak warga asing masing-masing berumur 37 dan 41 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan bot tersebut melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggaji pekerja asing tanpa kebenaran.
“Kedua-dua mereka gagal menunjukkan surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Bot bersama tekong dan awak-awak diiring balik ke jeti Kampung Baru di sini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – BERNAMA