TERHARU… Penyanyi berpengalaman, Aishah yang pernah terpalit dengan isu aktif dalam PAS dan kini PAN, mengakui kehidupan dirinya berubah selepas kembali mendapat tempat di hati peminat.
Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 53, berkata beliau sendiri tidak menyangka masih memiliki peminat yang setia menyokongnya, apatah lagi selepas beberapa tahun tidak pernah aktif menyanyi.
“Saya berasa terharu dengan sokongan ramai peminat, ini adalah ‘rezeki rimau’ buat saya. Saya tidak pernah mempunyai kelab peminat sejak lebih 30 tahun bergelar penyanyi. Tetapi hari ini, saya memiliki Aishah FC.
“Ia kini menjadi seumpama tulang belakang dalam kerjaya seni saya. Semuanya bermula dengan pembabitan saya menerusi program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) dan tanpa disangka muncul sebagai juara pula.
“Bayangkanlah pernah apabila pihak penganjur menyediakan 20 hingga 30 tiket untuk seseorang peserta, saya tidak tahu hendak beri kepada siapa. Akhirnya, ada insan yang saya percaya, sudi untuk menerajui Aishah FC.
“Alhamdulillah, walaupun program GV4 sudah melabuhkan tirai, hubungan kami masih baik, malah masing-masing sentiasa berhubung,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran kelab peminatnya, Aishah FC, di sini.

Pada majlis tersebut, Aishah FC juga membuat kejutan apabila meraikan ulang tahun ke-53 penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Janji Manismu dan Kemaafan Dendam Terindah itu di Melawati Mall dekat ibu negara.
Aishah berkata, selain menrima sokongan teguh daripada peminat, beliau yang berasal dari Jempol, Negeri Sembilan dan mula aktif menyanyi sejak 1984 itu juga kini menerima kiriman hadiah pada setiap hari.
Berita Harian melaporkan beliau berkata: “Jika pada awal kemunculan dulu, tiada yang sudi menaja saya, tetapi hari ini sebaliknya. Setiap hari, saya pasti bertemu posmen, ada saja hadiah mahu pun produk dihantar ke rumah.
“Sekurang-kurangnya satu produk atau hadiah mesti ada. Saya berterima kasih kerana setiap produk yang dihantar, sama ada hanya untuk dibuat ‘review‘ atau sebagainya, semuanya saya sudah cuba pakai.
“Saya hargai pemberian peminat,” katanya disulami ketawa kecil. Aishah yang pernah berkahwin sebelum berpisah, kini mempunyai dua cahaya mata, Armand Azhari dan Azhad Ahlami. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA