ORANG kata nak seribu daya tak nak seribu dalih. Bila ada anak kecil, stok snek untuk kudapan kena sentiasa ada di rumah.
Kalau yang beli di luar tu tak pasti bahan-bahannya sesuai atau tidak untuk bayi dan kanak-kanak. Terlalu manis pun tak elok untuk tumbesaran mereka.
Belum lagi dengan harganya yang boleh tahan mahal. Sebekas biskut bayi dah mencecah RM20!
Jadi, untuk menjimatkan wang ringgit dan sudah tentu ibu-ibu mahu berikan makanan terbaik untuk anak-anak, lebih baik jika ia disediakan sendiri.
Berikut merupakan 4 resepi untuk kudapan bayi dan kanak-kanak yang boleh anda sediakan dengan mudah dan kosnya juga tidak terlalu tinggi.
AISKRIM COKLAT
Hidangan( 6 – 8 orang)
Bahan-bahan:
- 100 gram coklat gelap (dark chocolate) – dipatah-patahkan
- 300 ml susu penuh krim
- 85 gram gula kastor
- 3 biji kuning telur
- 300 ml krim putar
Cara menyediakan:
- Masukkan kepingan coklat dan susu dalam periuk. Panaskan dan kacau perlahan-lahan sehingga sekata, kemudian alihkan daripada api panas.
- Pukul gula dengan kuning telur dalam mangkuk sehingga gebu. Campurkan dalam adunan susu coklat yang sudah sejuk. Kacau hingga sebati dan biarkan sejuk. Jangan biarkan adunan berketul.
- Kacau krim putar sehingga kental dan gebu.
- Kemudian campurkan dengan campuran coklat sejuk tadi. Simpan dalam peti sejuk beku beberapa jam.
- Kemudian pukul campuran aiskrim beku tadi menggunakan pengadun sehingga likat dan berkrim. Kemudian bekukan dalam peti sejuk beku sekali lagi semalaman.
- Siap untuk dimakan.
MILK SHAKE
Hidangan: 2 orang
Masa: 20 minit
Bahan-bahannya:
- 120 gm aiskrim vanilla atau coklat
- 250 ml susu segar
- 20 ml krim putar
- 100 ml sirap gula
- 10 gm chocolate rice (untuk hiasan)
Cara menyediakannya:
- Masukkan susu segar ke dalam pengisar bersama setengah cawan ais kiub.
- Masukkan sirap gula dan aiskrim pilihan anda.
- Kisar sehingga tekstur minuman menjadi lembut dan sebati. Letakkan di dalam gelas dan hiaskan dengan krim putar dan chocolate rice.
TORTILLA WRAP
Hidangan: 2 orang
Masa: 20 minit
Bahan-bahan:
- 2 keping tortilla wrap
- isi ayam (potong dadu)
- ½ biji bawang besar (cincang)
- 2 biji telur
- 1 sudu kecil sos barbeque
- Sedikit garam
- Sedikit lada sulah
- Daun salad
- Minyak zaitun untuk menggoreng
Cara menyediakan:
- Perap isi ayam dengan sos barbeque selama 3-5 minit.
- Panaskan kuali dan tumis bawang besar. Biarkan seketika kemudian masukkan ayam yang diperap.
- Setelah ayam masak, sejukkan ia dan goreng telur hancur seperti biasa.
- Gaulkan ayam dan telur hancur tadi bersama sedikit garam dan lada sulah. Gaul sebati.
- Kemudian gunakan kuali leper anda untuk panaskan tortilla. Gunakan api yang perlahan. Satu minit untuk setiap bahagian tortilla yang dipanaskan.
- Setelah dipanaskan, letakkan daun salad di atas tortilla. Kemudian letakkan campuran ayam dan telur tadi di atas daun salad.
- Balut tortilla anda mengikut citarasa sendiri. Boleh juga ditambah sos tomato dan mayonis untuk rasa yang lebih menarik.
- Siap untuk dihidangkan.
BURGER MINI
Bahan-bahan:
- Sekeping daging burger ayam yang dibuat sendiri
- Sebuku roti bulat bersaiz mini
- Sebiji tomato dihiris
- 1 batang timun Jepun
- 1 kepng keju cheddar
- 1 sudu makan mayonis
Cara menyediakan:
- Panggang kepingan daging burger sehingga masak.
- Potong roti di bahagian tengah dan sapukan sedikit mentega dan mayonis.
- Letakkan daging pada lapisan pertama. Lapiskan dengan hirisan tomato dan timun, kepingan keju. Tutup dengan roti kedua.
- Sedia dihidang.
Cara membuat daging burger
- Daging ayam cincang
- Serbuk lada putih
- Sedikit garam
- Gaul kesemuanya hingga sebati. Buat bentuk kepingan daging burger.