PUTRAJAYA – Lebih 50,000 masyarakat India dijangka mendapat manfaat daripada 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) yang dibuka untuk langganan kaum itu mulai 29 Jan, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam hari ini.
Beliau berkata 1.5 bilion unit saham itu adalah sebahagian daripada dua billion saham amanah yang ditawarkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) kepada masyarakat India bagi meningkatkan pelaburan dan tahap ekonomi masyarakat India.
Kerajaan juga memperuntukkan pembiayaan khas sebanyak RM500 juta bagi tempoh lima tahun dalam bentuk skim pinjaman tanpa faedah berjumlah RM5,000 untuk 100,000 isi rumah dari kumpulan berpendapatan rendah (B40) untuk tujuan melabur dalam AS 1Malaysia dan akan dibuka untuk langganan pada Februari nanti, katanya.
“Inisiatif ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018 di bawah agenda Pelan Tindakan Masyarakat India, menunjukkan komitmen penuh kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan masyarakat India dalam jangka panjang, serta menyediakan peluang pelaburan yang menjana pendapatan konsisten.
“Dengan tambahan 1.5 bilion unit (AS 1Malaysia) untuk komuniti India, ia akan meningkatkan lagi penyertaan ekuiti oleh kaum India. Ada pihak mendakwa masyarakat India kurang mengambil bahagian di pasaran ekuiti dan hanya berada pada tahap 1.1 atau 1.2 peratus,” katanya dalam sidang media di Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Sedic Prof. Datuk Dr. N.S. Rajendran dan Pengerusi PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Bagi skim 1.5 unit tambahan AS 1Malaysia, masyarakat India boleh menambah tabung unit amanah tersebut sehingga had maksimum 30,000 unit bagi setiap pelabur selagi unit tambahan masih ada untuk dilanggan menerusi platform dalam talian www.myasnb.com.my
“Bagi pelabur baharu, kadar minimum 100 unit bagi setiap pelabur sehingga had maksimum. Para pelabur boleh melanggan unit tambahan AS 1Malaysia dengan mengunjungi mana-mana cawangan Amanah Saham Nasional Berhad atau ejen termasuk Maybank, CIMB, RHB, Pos Malaysia, Affin Bank, Alliance Bank, AmBank dan Bank Mualamat,” katanya.
Permohonan kelayakan untuk melanggan AS 1Malaysia terbuka kepada warganegara Malaysia berbangsa India iaitu akaun dewasa (18 tahun dan ke atas) dan Akaun Bijak (ibu bapa atau penjaga yang sah melabur bagi kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah dan mempunyai sijil kelahiran sah.
Bagi skim pelaburan khas melibatkan kumpulan B40, Dr Subramaniam berkata Sedic sedang mengenal pasti dan membuat pengesahan sama ada keluarga yang berada dalam sistem e-kasih itu benar-benar golongan yang layak melabur dan menerima pinjaman tanpa faedah untuk melabur di bawah AS 1Malaysia ini.
Sementara itu, Abdul Wahid berharap agihan pendapatan 6 sen seunit bagi pemegang akaun AS 1Malaysia dapat dikekalkan seperti tahun lalu atau meningkat bergantung kepada prestasi kewangan dana yang lebih kukuh membolehkan ia membina rizab tambahan untuk menyokong agihan pendapatan pada masa depan. — BERNAMA