PUTRAJAYA – Bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan bekas naib ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini gagal dalam permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan menutup siasatan berkaitan derma RM2.6 bilion.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menolak permohonan oleh Zaid dan Khairuddin untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang menolak rayuan mereka untuk kebenaran merayu mencabar keputusan Peguam Negara menutup siasatan.
Hakim Zulkefli berkata tiada merit dalam permohonan kerana ia tidak tertakluk di bawah prinsip dan skop Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
“Kami berpendapat bahawa bukan tanggungjawab panel ini untuk menimbangkan sama ada panel terdahulu mahkamah ini (Mahkamah Persekutuan) telah atau tidak membuat keputusan yang betul.
“Oleh itu, kami berpendapat kami tidak perlu untuk memutuskan sama ada terdapat bahaya berat sebelah yang nyata dan isu ini telah didengar dan diputuskan oleh panel terdahulu,” kata Hakim Zulkefli yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Aziah Ali.
Panel membuat keputusan seblepas mendengar hujah daripada peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Zaid dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin sementara Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh mewakili Peguam Negara.
Kedua-dua mereka memfailkan permohonan bagi menyemak semakan terhadap keputusan panel terdahulu Mahkamah Persekutuan pada 28 Julai, diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif yang menolak permohonan Badan Peguam Malaysia, zaid dan Khairuddin bagi kebenaran untuk mencabar keputusan Peguam Negara berhubung keputusan menutup siasatan berhubung derma RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakim Md Raus juga menolak permohonan mereka supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes itu dan bahawa apa-apa keputusan yang dibuat adalah berdasarkan fakta di hadapan mahkamah dan undang-undang.
Terdahulu, Sri Ram berhujah bahawa terdapat bahaya nyata berat sebelah pada Hakim Md Raus yang mendengar kes itu kerana beliau dilihat menghadiri satu majlis peribadi Perdana Menteri untuk acara keagamaan lima hari sebelum prosiding bagi memohon kebenaran itu didengar.
“Ini adalah majlis peribadi dan tidak ada hakim lain yang hadir. Ia tidak memberi tanggapan yang baik kepada badan kehakiman,” kata beliau.
Amarjeet berhujah bahawa Ketua Hakim Negara tidak menghadiri majlis peribadi tetapi ia berupa majlis keagamaan.
Beliau juga berkata permohonan itu tidak tertakluk di bawah skop Aturan 137 dan mahkamah harus menolaknya kerana ia tidak mempunyai kemuktamadan jika mahkamah membenarkan permohonan itu.
Pada 4 April 2017, Mahkamah rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Nov, 2016 yang menolak permohonan badan Peguam Malaysia, Zaid dan Khairuddin bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Peguam Negara.
Pada 2 Feb, 2016, Zaid memfailkan permohonan menutut perintah untuk membatalkan keputusan Peguam Negara dan memaksanya memulakan prosiding jenayah terhadap perdana menteri mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Peguam Negara pada 26 Januari mendapati bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Najib berkaitan SRC International Sdn Bhd dan dakwaan mengenai derma RM2.6 bilion.
:Pada 3 Feb, 2016, Khairuddin memfailkan permohonan yang sama untuk mencabar keputusan Mohamed Apandi bahawa beliau berpuas hati bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Najib berhubung derma RM2.6 bilion, pemindahan dana oleh SRC International ke dalam akaun peribadinya dan pinjaman oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kepada SRC International.
Khairuddind dalam permohonannya, memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan Mohamed Apandi pada 26 Jan, yang membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku berkaitan siasatan SPRM mengenai ketiga-tiga isu itu.
Pada Mac, 2016, Badan Peguam Malaysia juga memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan yang dimaklumkan oleh Peguam Negara melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 26 Jan bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh najib berkaitan ketiga-tiga kertas siasatan yang diserahkan oleh SPRM kepada Peguam Negara. – BERNAMA