RIYADH – Jabatan Trafik Arab Saudi mengumumkan bahawa wanita negara tersebut bakal dibenarkan memandu lori apabila mereka memenuhi syarat-syarat dan garis panduan ditetapkan.
Buat masa ini, hanya golongan lelaki sahaja boleh memandu pelbagai jenis lori di seluruh negara Asia Barat itu. Pengumuman tersebut dibuat oleh jabatan berkenaan menerusi satu kenyataan media di sini kelmarin.
Kenyataan itu menambah bahawa wanita warga tempatan juga dibenarkan untuk menunggang motosikal, seperti yang diumumkan dalam dekri diraja pada 26 September lalu yang akan mula berkuat kuasa mulai Jun 2018.
Nombor plat kereta wanita malahan juga tidak akan diasingkan, menurut laporan portal terkenal Al Arabiya. Kenderaan yang dipandu mereka juga akan dikenakan sistem undang-undang trafik yang sama.
Lebih tiga bulan lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mengejutkan pelbagai pihak seluruh dunia apabila meluluskan lesen memandu golongan wanita dewasa di negara berkenaan.
Dekri diraja itu membenarkan kedua-dua lelaki dan wanita untuk mendapatkan lesen memandu dan menubuhkan jawatankuasa peringkat tinggi untuk kaji cara-cara penguatkuasakan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA