MELBOURNE – Sembilan pelancong asing disahkan antara 19 mangsa yang cedera dalam insiden sebuah kereta melanggar pejalan kaki di sini, semalam.
Agensi berita Yonhap melaporkan, tiga daripada mangsa adalah pelancong warga Korea Selatan.
Herald Sun melaporkan turut cedera, pelancong dari China, Itali, India, Venezuela, Ireland dan New Zealand.
Pada masa sama, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull memberi jaminan bahawa kejadian itu adalah kes terpencil dan meminta rakyat supaya meneruskan kehidupan harian mereka.
Sementara itu, keadaan di bandar raya ini kembali seperti biasa dan semua jalan yang ditutup susulan kejadian itu sudah dibuka semula.
Namun, anggota polis mula mengawal beberapa kawasan, terutama yang menjadi tumpuan pelancong, menjelang sambutan Krismas minggu depan.
Dalam pada itu, tiga daripada 19 mangsa cedera dilaporkan berada dalam kritikal, selepas dirempuh pemandu keturunan Afghanistan.
Suspek berusia 32 tahun itu dilaporkan mempunyai masalah mental, selain pernah terbabit dalam penyalahgunaan dadah. – AFP

