KUALA LUMPUR – Dua sahabat masing-masing dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menyamun sebuah kedai antik dalam kejadian bulan lepas.
Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Tai Kok Hoo, 43, dan Hasselhoff Nonis, 30, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan Tai dan Hasselhoff menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 3 Nov lalu.
Kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan samun berkumpulan dengan melarikan mata wang dan setem lama milik Yong Ah Lee, 59, yang keseluruhannya bernilai RM10,000 di kedai barangan antik di Jalan Sepadu Taman United, Brickfields di sini.
Tai yang bekerja membaiki telefon bimbit manakala Hasselhoff seorang tukang paip didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 pagi, 3 Nov lepas dan dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Zulkifly Awang yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan terhadap kedua-dua anak guamnya atas alasan, mereka penanggung utama keluarga dan telah insaf dengan perbuatan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz, bagaimanapun memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dalam kes itu selain ia adalah kesalahan serius.
“Dalam kes ini, mangsa adalah seorang warga tua dan mereka menggunakan kekerasan dengan memukul serta mengikat mangsa dengan tali kabel. Oleh itu, mahkamah perlu mengenakan hukuman sebatan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa didatangi tiga lelaki termasuk dua tertuduh yang menyamar sebagai anggota penguat kuasa dan bertanyakan mengenai barang-barang dalam kedai serta lesen perniagaan kepada mangsa.
Tiba-tiba tertuduh pertama dan kedua memegang mangsa sambil rakan mereka menyembur penyembur lada ke arah muka dan mengikat kaki serta tangan mangsa sebelum dimasukkan ke dalam sebuah bilik.
Kesemua tertuduh melarikan diri apabila seorang lelaki memasuki kedai itu, namun dua daripadanya berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam manakala seorang lagi rakan mereka sempat melarikan diri. – BERNAMA

