BUTTERWORTH – Polis akhirnya menumpaskan sindiket perjudian dalam talian selepas menahan sembilan lelaki termasuk penganjurnya dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Teras Jaya, Mak Mandin di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu premis itu kira-kira 2 pagi dan menahan mereka berusia 26 hingga 50 tahun itu.
“Semasa serbuan, seramai lapan lelaki sedang leka berjudi dalam talian, yang diuruskan oleh seorang lelaki berumur 42 tahun.
“Sindiket perjudian dalam talian itu menggunakan tablet separa besar iaitu skrin 8 inci dengan sambungan internet menggunakan wifi,” katanya di sini hari ini.
Katanya dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah tablet khas yang digunakan penganjur untuk menambah kredit buat mereka yang berjudi dalam talian dan 10 tablet pelbagai jenama untuk pelanggan sindiket tersebut.
Noorzainy berkata selain itu, polis juga merampas wang tunai RM500, alat pengecas tablet, alat modem serta pelbagai peralatan untuk kegunaan sindiket itu.
Katanya berdasarkan siasatan awal, sindiket berkenaan telah menukar taktik perjudian daripada mesin perjudian kepada perjudian dalam talian menggunakan tablet bagi mengelak dikesan polis.
“Sebelum ini, premis itu pernah diserbu kerana menjalankan kegiatan mesin perjudian dan nampaknya mereka menukar taktik baharu bagi mengaburi kami, namun hasil intipan serta tindakan pantas polis, kami berjaya menumpaskan sindiket berkenaan,” katanya.
Beliau berkata sembilan lelaki itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada polis berhubung kegiatan perjudian dan pihaknya akan meningkatkan usaha membanteras jenayah itu. – BERNAMA

