BESUT – Sebanyak 93 lelaki termasuk lima warga Thailand ditahan dalam operasi membanteras dadah selama enam hari berakhir semalam di daerah Besut.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata mereka yang ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu itu berusia antara 17 hingga 59 tahun yang disyaki penagih tegar dan pengedar dadah.
“Sebanyak 211 biji pil dadah, 11.14 gram heroin, 4.5 liter air ketum serta 0.39 liter kodien berjaya dirampas dalam operasi itu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Selain itu sebilah parang, pisau dan sabit turut dijumpai di dalam sebuah kereta yang dipercayai dicuri oleh seorang suspek baru-baru ini, katanya.
Menurutnya operasi itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan. – BERNAMA