ALOR SETAR – Ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote Pequeno begitu teruja untuk membawa pasukan Lang Merah ‘terbang tinggi’ selepas menandatangani kontrak perjanjian selama setahun bersama pasukan itu hari ini.
Marcote, 40, juga berkeyakinan tinggi kepulangannya ke pasukan Lang Merah sangat dinanti-nantikan pemain dan penyokong pasukan Kedah yang mahukan sentuhannya setelah meninggalkan pasukan itu pada 2015.
“Saya amat gembira kerana saya tahu negeri ini, pemain dan juga masyarakat di sini. Saya percaya peminat dan pemain juga gembira kerana sejak dua tahun lepas prestasi pasukan meningkat.
“Saya berasa yakin dengan sokongan daripada presiden, kelab dan penaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak ketua jurulatih skuad Liga Super Kedah 2018 di Wisma Darulaman di sini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar.
Marcote juga tekad merencanakan yang terbaik untuk pasukannya itu serta tidak akan hampa penyokong seperti pernah dilakukan pada 2015 sehingga Kedah muncul antara pasukan terhebat dan layak ke final Piala Malaysia.
“Saya akan berusaha sedaya upaya jalan tanggungjawab saya, meningkatkan prestasi pasukan sama ada pemain tempatan dan juga pemain import. Saya akan pastikan Kedah muncul pasukan terbaik di Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai tiga slot pemain import yang masih kosong, Marcote berkata beliau dan pihak pengurusan akan berusaha mendapatkan pemain import secepat mungkin.
Mengenai pertemuannya bersama pemain semalam, Marcote berkata beliau teruja bertemu semula pemain-pemain yang pernah dibimbingnya, dan berharap dapat terus bekerjasama baik sebagai sebuah pasukan.
Marcote merupakan bekas penolong jurulatih Atletico Madrid dan pernah bersama Kedah pada 2015 sebagai jurulatih kecergasan.
Marcote sebelum ini jadi calon pilihan bagi menggantikan Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang menyatakan kesediaan untuk berundur selepas gagal bantu Lang Merah mempertahankan gelaran Piala Malaysia 2017. – BERNAMA