BARU-BARU ini kita dihebohkan mengenai isu pergaduhan besar di antara dua selebriti, Lana Nordin dan Noorshila Amin sehingga mencetuskan kontroversi.
Ini melibatkan dakwaan kononnya Noorshila dikatakan telah menipu wang milik lapan selebriti yang terlibat dalam festival di Brunei pada April lalu.
Susulan perkara itu, Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin telah menyerahkan isu pergaduhan terbabit kepada pihak peguam untuk diselesaikan.
Menurut pelakon serba boleh itu lagi, dia juga bakal mengadakan sidang media rasmi berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat ini.
“Sebenarnya saya tidak sangka kes ini jadi besar. Memandangkan pihak di sana membuat sidang media, saya terpaksa meminta nasihat peguam untuk tindakan selanjutnya
“Saya tidak mahu bercerita panjang hal ini, biar selesai urusan perniagaan di Singapura barulah saya buat sidang media,” katanya dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu, Lana turut mempersoalkan tindakan penyanyi berkenaan yang tidak meminta penjelasan daripada pihak penganjur terlebih dahulu berhubung dakwaan tersebut.
Pada Isnin lalu, Noorshila telah mengangkat lima kali sumpah laknat terhadap Lana bagi membuktikan bahawa dirinya tidak ambil mahupun tipu wang lapan artis yang terlibat dalam Brunei International Festival 2017 baru-baru ini.
Antara nama artis yang disebutkan ialah Encik Mimpi, Jasmin Ashraff, Anina Ahmad B, Liza Abdullah, Shila Mambo, Rozie Othman, Zul Yahya dan juga Aiman Tino.
Baca: Noorshila Amin Lafaz Sumpah Laknat Nafi Tipu Artis
Sementara itu, episod pertelingkahan ini menjadi tular selepas ia dikongsi oleh penyanyi, Roslan Shah di laman Facebooknya, minggu lalu.
Kekecohan tersebut bermula apabila pelantun lagu Rambu Ramba berkenaan dikatakan bertindak menendang troli Lana ketika berniaga di Singapura, baru-baru ini.
Ekoran itu, Noorshila telah membuat laporan polis terhadap Roslan pada 3 Disember lalu dan diikuti pula oleh Lana pada 4 Disember lepas di Balai Polis Seremban 2. – MYNEWSHUB.CC/AM