KUALA LUMPUR – Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya menebus kekecewaan edisi lepas apabila muncul juara Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2017 selepas menewaskan Johor 48-46 pada aksi final di Stadium Juara di sini, hari ini.
Kuala Lumpur yang mara ke pentas final setelah mengetepikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi separuh akhir, bagaimanapun diberi tentangan sengit pasukan lawan apabila ketinggalan 23-24 pada babak pertama perlawanan.
Namun, skuad bimbingan Norizan Rajab yang dibarisi hampir sebahagian besar pemain muda berjaya menemui rentak permainan pada babak kedua sebelum bangkit mencatat kemenangan sekali gus memadamkan impian Johor menjulang kejuaraan itu selepas kali terakhir dilakukan pada 2007.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Norizan berkata perubahan strategi yang dilakukan pada barisan serangan di babak kedua permainan menjadi faktor utama kebangkitan anak buahnya pada perlawanan itu.
“Sebelum ini, kita bertemu Johor pada peringkat kumpulan dan Johor adalah sebuah pasukan agak bagus serta mampu memberi saingan sengit. Pada perlawanan akhir ini, kita dipaksa bekerja keras dan rombakan terpaksa dibuat dan kita gembira percaturan itu membuahkan hasil.
“Perubahan posisi S. Shandralelka daripada penjaga gol (GK) ke penjaring gol (GS) menghasilkan kombinasi jentera serangan yang mantap selain mengembalikan semula rentak permainan dan seterusnya memenangi perlawanan dengan kelebihan dua jaringan,” katanya.
Sementara itu, pemain Kuala Lumpur Nur Amisya Khairuddin yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan berkata kemenangan itu akan dijadikan sebagai batu loncatan dalam usaha beliau menempatkan diri dalam skuad senior kebangsaan.
“Saya amat bangga atas penganugerahan ini dan saya berterima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberikan sokongan selama ini. Ini akan membakar semangat saya untuk terus meningkatkan lagi usaha bagi dipilih ke dalam skuad senior,” katanya.
Pemain Kuala Lumpur Nur Fatin Nadirah Abd Hamid muncul Pemain Pertahanan Terbaik sementara pemain Johor Nur Fariha Abdul Razak dipilih sebagai Penyerang Terbaik manakala Khairunnisa Nazri dari Perak pula mengungguli senarai Penjaring Terbanyak dengan 167 gol.
Dalam pada itu, tempat ketiga menjadi milik PDRM selepas menundukkan Terengganu 45-42 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, manakala juara bertahan, Selangor sekadar menamatkan kempen di tempat keenam setelah tewas 35-39 kepada Perak pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam. – BERNAMA