SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan merampas tiga juta batang rokok seludup dengan nilai cukai RM 2.34 juta.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Azimah Abd Hamid berkata rampasan dibuat di MAS Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 4 petang pada Ahad lalu.
“Rokok seludup yang tiba ke negara ini melalui kargo udara itu dikesan sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam negeri, yang membuat serbuan di Mas Cargo KLIA.
“Hasil serbuan pada dagangan yang baru tiba dari Ho Chi Minh, Vietnam itu menemukan sejumlah tiga juta batang rokok berjenama Canyon, di tempat pemunggahan barang-barang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata barang tersebut dihantar menggunakan pesawat Eva Air serta diikrarkan sebagai barangan am dan pelbagai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Nilai rokok ditafsirkan berjumlah RM240,000 dan duti terlibat pula berjumlah RM2.1 juta,” katanya.
Azimah berkata hasil siasatan awal, alamat syarikat yang tertera pada kotak rokok tersebut tidak wujud di Lembah Klang dan kesemua barangan tersebut disita kerana disyaki diimport tanpa melalui prosedur pengimportan yang sah dan boleh didakwa mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat semalam, pihaknya menyelesaikan sebanyak 184 kes di negeri ini, melibatkan pelbagai komoditi antaranya rokok, arak, kenderaan dan lain-lain lagi dengan nilai dan cukai mencecah RM26.93 juta.
Beliau turut meminta orang ramai untuk segera melaporkan kepada pihak kastam berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan barangan dengan menghubungi 1-800-88-8855 dan memberi jaminan setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan. – BERNAMA