BANJUL – Seramai 1,500 warga Gambia yang tiba di Jerman tanpa dokumentasi, akan dihantar pulang ke negara asal, kata Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.
“Terdapat lebih 35,000 migran Gambia di Jerman, tidak termasuk 1,500 yang tidak mempunyai dokumen sah dan menunggu untuk dihantar pulang,” kata Steinmeier pada sidang akhbar bersama Presiden Gambia, Adama Barrow, di sini.
Steinmeier berkata, kedua-dua negara akan membawa pakar-pakar teknikal untuk menyelesaikan masalah itu, termasuk menyediakan latihan kemahiran kepada migran berkenaan.
“Eropah tidak mempunyai jawapan kepada masalah Afrika. Negara itu sendiri perlu menyelesaikannya,” katanya yang tiba di Banjul pada Rabu untuk mengadakan lawatan kerja sehari.
Beliau adalah ketua negara Eropah pertama melawat Gambia, sejak Barrow memegang jawatan selepas memenangi pemilihan presiden.
Peralihan kuasa di Gambia berlaku dalam keadaan tegang, apabila bekas pemimpin Yahya Jammeh enggan melepaskan jawatan pada awalnya.
Jammeh akhirnya meninggalkan negara itu pada Januari, selepas negara jiran Senegal menghantar tentera untuk membantu menguatkuasakan keputusan pilihan raya. – BERNAMA