MACHANG – Seorang wanita maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 49.8, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, berhampiran simpang Batu 30,di sini, malam tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa, Che Yam Daud, 53, yang merupakan pesara guru disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Machang.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, berkata selain Che Yam, kemalangan ngeri tersebut turut mengakibatkan empat lagi mangsa cedera parah dalam nahas yang melibatkan kenderaan jenis Proton Saga, Perodua Myvi dan Honda Stream terbabit.
Katanya, kemalangan tersebut berpunca apabila Proton Saga yang datang dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh Proton Myvi yang dinaiki Che Yam bersama anak lelakinya berusia 25 tahun.
Dzulkifli berkata lagi, rempuhan berkenaan telah mengakibatkan sebuah kereta jenis Honda Stream dinaiki oleh suami dan dua lagi anak mangsa yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MYNEWSHUB.CC/AM
Video sekadar hiasan….
