BUKIT MERTAJAM – Dua buah rumah yang didiami dua keluarga di No 525, Jalan Kebun Sireh, di sini musnah dalam satu kebakaran di sini hari ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Hadzi Mohd Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.35 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.
“Semasa pihak bomba tiba, api sedang marak dan sebahagian daripada dua buah rumah jenis papan setingkat yang terletak bersebelahan antara satu sama lain itu telah terbakar. Kami berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke rumah lain pada 6.53 pagi dan api dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian,” katanya di sini hari ini.
Katanya tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu kerana penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran.
Sementara itu, mangsa kebakaran Hanim Hanapi, 25, berkata beliau dan suaminya Mohd Zulkifli Kassim menyewa sebuah dari rumah yang terbakar itu sejak awal tahun ini selepas berkahwin manakala sebuah lagi disewa sebuah keluarga.
Katanya walaupun sedih kerana semua barangan dalam rumah terbakar dia bersyukur kerana semasa kejadian mereka suami isteri berada di rumah keluarganya di Kulim, Kedah dan hanya mengetahui kebakaran itu selepas dimaklumkan oleh jirannya.
“Sejak tiga hari lepas kami balik tinggal di rumah keluarga saya kerana saya sedang sarat mengandung dan menunggu hari untuk bersalin, banyak barang bayi yang telah dibeli musnah dalam kebakaran itu.
“Kami sangat sedih kerana tiada barang yang dapat diselamatkan tapi Alhamdulilah saya dan suami selamat. Kalau ada di rumah sewa itu semasa kejadian saya tidak tahu apa akan jadi pada kami tambah pula saya tengah sarat mengandung sekarang ini,” katanya. – BERNAMA

