KUALA LUMPUR – Syarikat penginsurans jaminan kewangan, Danajamin Nasional Bhd, menjamin kemudahan peningkatan kredit untuk Tranche 1 program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) Sukuk Musharakah bernilai RM600 juta selama 12 tahun yang dikeluarkan oleh SkyWorld Capital Bhd, syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh SkyWorld Development Sdn Bhd.
Danajamin dalam satu kenyataan, berkata kemudahan peningkatan kredit itu diperlukan bagi membolehkan Tranche 1 IMTN berkenaan diberi penarafan AA3/Stabil dalam pasaran sukuk oleh RAM Rating Services Bhd.
“Terbitan pertama dibuat ke atas kemajuan pengebilan projek pembangunan SkyAwani 1 di Sentul, yang merupakan projek perumahan mampu milik pertama kumpulan di bawah program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawap),” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin, Mohamed Nazri, berkata jaminan tersebut merupakan transaksi berstruktur di Malaysia untuk mengewangkan kemajuan pengebilan sesebuah projek pembangunan hartanah.
“Kami amat berbesar hati dapat memainkan peranan bagi membantu pemaju hartanah seperti Skyworld Capital Bhd dengan menyediakan sebahagian atau jaminan penuh membabitkan projek-projek perumahan mampu milik,” katanya.
Sehingga sekarang, Danajamin telah membawa impak pasaran sebanyak kira-kira RM20 bilion.
Pengasas/Pengarah Urusan Kumpulan SkyWorld, Datuk Ng Thien Phing berpendapat sukuk berkenaan menjadi program yang pertama seumpamanya di Malaysia dan urus niaga dengan Danajamin menandakan permulaan yang positif bagi SkyWorld Development Group.
“SkyAwani 1 dan 2 merekodkan kadar ambilan sebanyak 100 peratus.
“Dengan lebih 52.6 hektar simpanan tanah berkualiti bernilai RM13 bilion dalam nilai pembangunan kasar, kami berada di landasan yang betul bagi membuat transformasi ke atas bandar tersebut serta membuka nilai tanah kami,” katanya. – BERNAMA