KOTA KINABALU – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dilihat masih relevan pada 2050 dan tahun seterusnya, kata presiden kongres itu Datuk Azih Muda hari ini.
Ketika menjawab soalan seorang peserta Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) di sini, beliau berkata peranan CUEPACS pada masa depan masih perlu, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan penjawat awam dalam era revolusi perindustrian.
“Kewujudan CUEPACS masih releven sekiranya ada kesatuan yang terus menganggotai CUEPACS.
“Setiap bulan, ada sahaja kesatuan pekerja yang mahu menyertai CUEPACS dan ini baik untuk kita berunding dengan kerajaan mengenai aspirasi penjawat awam dalam perkhidmatan,” kata Azih, yang menjadi moderator pada forum itu.
Forum itu turut disertai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman, Ketua Pemuda UMNO Papar Datuk Armizan Mohd Ali dan Presiden Majlis Belia Malaysia Mua’amar Ghadafi Jamal.
Zainal Rahim berkata CUEPACS memainkan peranan penting dalam merangka dasar kerajaan demi manfaat penjawat awam.
Beliau berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan penjawat awam dan berusaha untuk memenuhi keperluan golongan itu bagi membolehkan mereka selesa melaksanakan tugas.
Armizan menyarankan golongan belia di Sabah bertindak proaktif dalam membangunkan negeri dan meneruskan usaha pemimpin sekarang untuk menjadikan Sabah tempat tinggal selesa untuk penduduknya.
Katanya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman telah bertindak lebih awal dalam memenuhi aspirasi golongan belia, khususnya dalam memelihara perhutanan negeri bagi membolehkan kerajaan menjalankan pembangunan secara mapan. – BERNAMA

