ALOR SETAR – Cermin pintu utama sebuah hotel di Jalan Lumpur di sini rosak akibat letupan molotov cocktail disyaki dilempar oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal pada 4.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata difahamkan, lelaki itu dilihat memberhentikan motosikal di tepi jalan berhadapan hotel berkenaan sebelum melemparkan objek di hadapan pintu utama hingga mengakibatkan berlaku letupan dan cermin di pintu utama hotel retak keseluruhannya.
Namun, beliau berkata kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kematian.
Katanya polis kini giat mengesan suspek bagi mengenal pasti motif kejadian.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca dan siapa pelaku terbabit. Sehingga kini anggota forensik masih melakukan siasatan termasuk mengenal pasti bahan letupan yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Rozi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda. – BERNAMA

