SEORANG pemuda berusia 26 tahun cedera di kepala dan badan selepas dibelasah sekurang-kurangnya 20 lelaki yang dipercayai rakan kepada teman lelaki tunangnya.
Dalam kejadian pagi Jumaat lalu di Kampung Layang-Layang, Kluang, Johor, mangsa pada mulanya telah dihubungi oleh teman lelaki baharu kepada tunangnya yang mengajak untuk bertemu dan menyelesaikan masalah yang timbul secara baik.
Sepupunya, Umi Maisara berkata, mangsa kemudian pergi seorang diri bertemu dengan mereka berdua di sebuah restoran 24 jam untuk menyelesaikan salah faham di antara mangsa dan tunangnya pada jam 4 pagi.
“Dia meminta sepupu saya datang ke kedai mamak tempat dia dan kekasihnya lepak. Sepupu saya datang seorang diri untuk menyelesaikan masalah dengan cara baik seperti yang dikatakan.
“Selepas sepupu saya sampai di tempat itu, kekasih perempuan itu telah memukul sepupu saya. Tidak lama selepas itu, muncul 20 orang lelaki dari arah berlainan terus memukulnya beramai-ramai,” tulisnya menerusi posting di laman Facebook.
Umi turut memuat naik video rakaman litar tetutup (CCTV) dan beberapa gambar memaparkan bagaimana mangsa yang seorang diri cuba mempertahankan dirinya daripada dijadikan ‘lauk’ oleh kumpulan berkenaan.
Selain itu, wanita itu turut mengesyaki kejadian itu sudah dirancang dan mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Penjenayah masih telepas. Tunang sepupu saya juga telah membuat laporan palsu dan mendakwa sepupu saya yang menyerangnya.

“Segala bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan perbualan antara sepupu saya dan perempuan itu juga telah disimpan sebagai bahan bukti.
“Saya harap pihak polis menyiasat kejadian ini dan mengambil tindakan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, usaha menjejaki suspek yang tinggal di sekitar Kulai sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. -MYNEWSHUB.CC