BANDAR BAHARU (Kedah) – Lemak dan berkrim. Tekstur dan rasanya seperti isi durian yang disejukbekukan, namun ia sebenarnya adalah ais krim berasaskan durian.
Itulah hakikat mengenai produk ais krim yang dihasilkan oleh Nictron Agriculture Sdn. Bhd. (Nictron), syarikat yang mengusahakan dusun durian yang terletak di Sungai Kechil Ilir di sini, kira-kira 35 kilometer dari Kulim.
“Kami perlu memenuhi permintaan para pengunjung yang datang ke dusun. Ini kerana, bukan setakat isi durian, mereka mahukan lebih daripada itu. Mereka juga mahu menikmati produk berasaskan durian,” kata pemilik Nictron, Patrick Saw.
Menurut beliau, permintaan terhadap produk berasaskan durian semakin meningkat sejak kebelakangan ini di mana kebanyakan pengunjung mengakui tidak puas sekadar menikmati isi durian sahaja.
“Jadi, kami memperkenalkan ais krim durian sebagai hidangan pencuci mulut memandangkan ia sesuai untuk cuaca panas. Memang ia mendapat sambutan menggalakkan dan permintaan tinggi.
“Ais krim kami diperbuat daripada durian gred premium dan hanya boleh didapati di dusun ini, selain yang dieksport terutama ke China,” katanya sambil menambah bahawa setiap 100ml ais krim itu dijual di China dengan harga antara RM10 dan RM15.
Ais krim durian yang diperkenalkan atas jenama AROY (bahasa Thai bermaksud sedap) itu adalah daripada resepi seorang chef Malaysia yang pernah bekerja di sebuah hotel terkemuka di Brunei dan diproses sepenuhnya di sebuah kilang di Kuala Lumpur.
INOVASI 30 JENIS DURIAN
“Dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara yang melebihi 5,000 orang pada tahun ini, amat wajar kami mempelbagaikan produk berasaskan durian secara komersial.
“Jadi, kami inovasikan lebih 30 jenis durian dari dusun ini kepada pelbagai jenis produk lain seperti lempuk, isi durian beku, serawa dan ais krim. Jadi pelancong bukan sahaja mempunyai lebih pilihan untuk dinikmati malah untuk dibawa balik, umpamanya lempuk,” katanya kepada Bernama.
Ini kerana, tambah beliau, tidak semua pengunjung terutamanya dalam kalangan pelancong dapat membawa balik durian segar berikutan pelbagai peraturan umpamanya oleh pihak hotel dan syarikat penerbangan kerana dikhuatiri baunya yang menyengat mungkin tidak disenangi orang lain.
Menurut beliau, permintaan terhadap ais krim dan lempuk durian sangat memberangsangkan terutama dari kalangan pelancong luar negara yang singgah untuk makan durian di dusun ini. Pengeluaran produk lempuk dan isi durian yang dibekukan diproses di sebuah kilang di Kuala Ketil, kira-kira 90km dari Bandar Baharu.
Apabila pengeluaran dari dusun yang seluas kira-kira 71 hektar itu tidak mampu menampung permintaan, Saw terpaksa membeli durian dari dusun-dusun berhampiran agar tidak putus bekalan.
“Setakat ini, pasaran terbesar produk berasaskan durian adalah untuk eksport ke negara-negara China, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Bagi tahun ini, sehingga awal Disember, kita telah mengeksport sehingga 26 tan produk ais krim,” kata Saw sambil menambah bahawa pihaknya sedang memantapkan bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan pengeluaran dapat dilakukan pada tahap maksimum.
PAKEJ ISTIMEWA TARIK PELANCONG
Sementara itu, Pengarah Kumpulan syarikat berkenaan, Mashita Mansor berkata, inisiatif menjadikan dusun ini sebagai hab pengeluaran durian banyak mengubah landskap pelancongan di daerah berkenaan.
“Kebun ini dibuka kepada orang ramai sejak tahun lepas, dan kini kami menawarkan pakej makan sampai kenyang dengan kadar RM138 seorang, termasuk buah rambutan, langsat, pulasan, pisang dan nangka.
“Permintaan sangat memberangsangkan, walaupun kita hanya membuka tempat ini pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 3.00 petang. Kira-kira 100 hingga 200 pengunjung datang pada hari-hari berkenaan,” tambah beliau mengenai dusun yang sememangnya terkenal dalam kalangan penggemar tegar durian sejak beberapa tahun lepas.
Sebagai pakej tambahan, pengunjung juga dibawa untuk menikmati keindahan matahari terbenam dari dusun yang dikelilingi kehijauan pokok pada ketinggian 365 meter dari aras laut.
Selain produk berasaskan durian, syarikat ini juga berusaha mempelbagaikan produk daripada buah-buahan yang terdapat di dusun berkenaan untuk dikomersialkan.
“Dengan R&D yang berterusan dan penggunaan teknologi, kami berharap pelbagai produk dari buah-buahan ini akan meluas di pasaran antarabangsa dalam masa terdekat,” katanya.
Pengunjung dari Singapura yang ditemui, Maisarah Jamal, 45, memberitahu bahawa beliau lebih menggemari ais krim durian berbanding isi durian segar. Saya bukan penggemar durian, jadi apabila rakan mengajak ke dusun ini untuk makan durian, memang saya agak skeptikal.
“Bagaimanapun, saya memang terkejut apabila pakej di sini turut menawarkan produk lain, sesuatu yang sangat berbeza daripada beberapa dusun lain yang pernah saya kunjungi. Sudah tentu saya sukakan ais krimnya yang enak dan ayam panggang yang mereka sediakan,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, usaha Nictron menawarkan pakej seumpama itu mampu menarik pelancong ke daerah ini dan bertepatan hasrat kerajaan negeri untuk mengkomersialkan buah-buahan dari Kedah.
“Mereka berjaya memberi nilai tambah kepada pengalaman menikmati durian yang pelbagai jenis serta buah-buahan dan pada masa sama menambah produk hiliran yang terdapat di daerah ini.
“Saya percaya konsep ini dapat diperluaskan dalam kalangan pengusaha kecil, dengan sedikit bantuan inovasi dan teknologi,” katanya. – BERNAMA