KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said hari ini memuji intipati Bajet Terengganu 2018 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Beliau yang hadir sejak hari pertama persidangan Isnin lalu turut yakin dengan bajet berjumlah RM1.99 bilion itu dan dijangka mampu memenuhi kehendak rakyat.
“Tahniah dan syabas kepada Menteri Besar dengan ucapan peruntukan Bajet 2018 yang begitu komprehensif dengan 60 ‘touch point’. Saya percaya bahawa bajet kali ini menjadi persiapan kita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Mudah-mudahan Allah merahmati usaha Barisan Nasional, “ katanya ketika perbahasan Bajet Terengganu 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Razif membentangkan bajet bertemakan ‘Membina Masa Depan Yang Lestari’ bagi mengurangkan bebanan rakyat selain untuk meningkatkan tahap kesejahteraan serta kemajuan negeri walaupun terus berdepan dengan kemerosotan sumber hasil melalui industri petroleum.
Bagaimanapun katanya, dalam segala perancangan bajet untuk masa akan datang, beliau tetap berharap agar kerajaan negeri dapat memberi perhatian secara khusus terhadap projek Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai yang telah lama dirancang.
Ahmad yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu berkata sekiranya terlaksana dengan baik, Tasik Kenyir bakal muncul sebagai zon bebas cukai pertama dalam tasik di dunia dan mampu menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.
Beliau turut berharap dua projek di Kijal iaitu pembinaan terusan di Telok Kalong bagi mengekang masalah banjir dan dewan orang ramai di Seri Bandi dapat disiapkan sepertimana yang telah dijanjikan beberapa tahun lalu.
Sebelum mengakhiri perbahasan, beliau sempat menyatakan bahawa kemunculannya kali ini mungkin yang terakhir sebagai ADUN Kijal dan tetap berharap Kijal terus menjadi ‘f’ixed deposit’ BN pada PRU nanti.
“Apa yang penting kita suarakan hasrat rakyat dan memberi kehendak rakyat…bukan sekadar ucapan tetapi pelaksanaan. Mudah-mudahan Allah merahmati kita dan saya memohon maaf kepada semua ahli dewan dan di luar dewan sepanjang saya menjadi perwakilan,” katanya. – BERNAMA
