SHAH ALAM – Empat sekeluarga berdepan detik cemas selama beberapa jam apabila tangan mereka digari oleh tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dalam satu kejadian samun di sebuah rumah di Seksyen 7, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata dalam kejadian pukul 4.50 pag itu, seorang lelaki berusia 50-an yang berada di rumah bersama tiga anaknya telah didatangi tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis berpakaian preman.
“Suspek mengarahkan mangsa membuka pintu dengan alasan mahu membuat pemeriksaan bagi mengesan seorang suspek yang diburu.
“Hasil siasatan mendapati suspek menggeledah rumah dan seorang daripada mereka menunjukkan satu objek menyerupai pistol ke arah keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shafien berkata seorang lagi suspek bertindak menggari mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan bersama tiga anaknya sebelum melarikan diri.
Katanya suspek telah melarikan sebuah kereta jenis Honda Insight, sebuah komputer riba, barang kemas dan beberapa buah telefon bimbit.
Beliau berkata mangsa dapat mengecam suspek dan dua fotofit suspek diedarkan hari ini berhubung kes itu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata nilai keseluruhan barang yang dicuri masih dalam siasatan dan polis kini dalam usaha memburu ketiga-tiga suspek berusia 30-an. – BERNAMA