NIBONG TEBAL – Dua lelaki yang merupakan anggota geng curi kenderaan berjaya ditahan ketika mereka cuba mencuri sebuah lori treler di Kampung Kepala Gajah, Simpang Ampat di sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafee Abdul Samad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, penjaga kawasan gudang menyimpan lori berkenaan menyedari kehadiran dua lelaki berusia 26 dan 31 tahun sedang membuka kenderaan tersebut.
“Lori itu berada di kawasan parkir di situ dan lelaki berkenaan terus menghubungi polis memaklumkan kejadian sebelum pihak kami ke lokasi serta berjaya menahan dua suspek terbabit.
“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai pelbagai barangan antaranya pisau, pemotong besi, pemutar skru, spanar dan masterkey untuk digunakan bagi mencuri kenderaan di dalam kereta Proton Wira milik seorang daripada suspek itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata polis juga menjumpai satu set walkie talkie dan dadah jenis syabu serta peralatan untuk menghisap dadah di dalam kereta mereka.
Shafee berkata berdasarkan siasatan, dua lelaki itu terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan sejak beberapa bulan lepas dan sasaran mereka ialah lori kerana harganya yang mahal.
Katanya lelaki berusia 31 tahun itu memang dikehendaki polis bersabit kes curi kenderaan dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah serta turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan anggota geng curi kenderaan dan rangkaian mereka. Polis percaya mereka berada di sekitar Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua lelaki yang tidak bekerja itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA

