BAGAN SERAI – Seratus kanak-kanak daripada golongan kurang kemampuan dalam Parlimen Bagan Serai dikhatankan secara beramai-ramai di tiga kawasan iaitu Alor Pongsu, Selinsing dan Semanggol bermula dari hari ini hingga 7 Dis.
Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata penganjuran program itu bertujuan meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.
“Program berkhatan ini menggunakan teknik sunathrone (sistem clamp) yang lebih moden berbanding dengan sistem lain.
Teknik ini juga lebih memberikan keselesaan kepada setiap kanak-kanak, bersih dan mereka mampu untuk pulih dengan cepat iaitu antara lima hingga 10 hari sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Berkhatan di Alor Pongsu di sini, hari ini.
Semua kanak-kanak yang terlibat berumur 7 hingga 11 tahun itu dikhatankan sendiri oleh Dr Noor Azmi bersama seorang lagi doktor dari klinik berhampiran.
Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata program kali ke empat yang diadakan sejak 2014 memberi peluang kepada anak-anak untuk menempuh alam dewasa dengan cepat. – BERNAMA