KUALA LUMPUR – SISMA Auto, pengedar bertauliah Volvo Car Malaysia yang baru dilantik, telah membuka bilik pameran Volvo rasmi pertamanya di Menara Worldwide, Jalan Bukit Bintang.
Pengarah Urusan, Syed Khalil Syed Ibrahim berkata bilik pameran tersebut akan membantu meningkatkan keterlihatan dan kesedaran jenama kereta mewah Volvo.
“Terletak di tengah-tengah kawasan kediaman dan komersial utama di ibu negara, bilik pameran ini bakal menawarkan sentuhan kemewahan Sweden dengan menampilkan suasana peruncitan premium yang dipengaruhi oleh reka bentuk Scandinavia, yang dikenali sebagai Pengalaman Runcit Volvo (VRE).
“Dengan bilik pameran baharu ini, kami berharap untuk membawa pengalaman Volvo dengan lebih dekat kepada mereka yang tinggal atau bekerja di bandar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran bilik pameran itu di sini hari ini.
Bilik pameran itu juga menyediakan perkhidmatan mengambil dan menghantar untuk pelanggan-pelanggan di sekitar Lembah Klang, kata Syed Khalil. – BERNAMA