• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Tuesday, May 26, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Tanaman Herba Bantu Penduduk Kampung Sagil

oleh AK-47
07/11/2017
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

Penubuhan Plot Model Kampung Herba di Kampung Sagil, Tangkak antara lain bertujuan memperkasa ekonomi penduduk kampung berkenaan.
Rencana siri akhir ini menjurus kepada penduduk kampung khususnya peserta yang juga ahli Persatuan Peniaga Kecil Kampung Sagil (PPKS) dalam memanfaatkan peluang berkenaan untuk membantu menjana ekonomi mereka.

TANGKAK – Ibarat bulan jatuh ke riba.

Itu perumpamaan sesuai bagi menggambarkan betapa bertuahnya penduduk Kampung Sagil, di sini, apabila kampung ini terpilih bagi menempatkan Plot Model Kampung Herba dalam usaha merakyatkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Memetik intipati ucapan Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abdul Latif Mohmod sewaktu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan PPKS pada 14 Oktober lepas, ladang herba yang ditubuhkan itu secara langsung mampu menjana pendapatan tambahan kepada penduduk kampung.

“Spesis herba terpilih yang ditanam berpotensi untuk dijadikan sumber pendapatan tambahan kepada penduduk kampung pada masa akan datang sekiranya berlaku aktiviti komersialisasi.

“Ia dijangka mampu menjana pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan dalam tempoh sembilan bulan tempoh tuaian, bergantung kepada spesis yang ditanam,” katanya.

RAIH MANFAAT

Untuk permulaan, seramai 10 peserta dari PPKS terlibat bagi menjalankan projek ladang herba berkenaan yang melibatkan spesis herba seperti murunggai (Moringa oleifera), cucur atap (Baeckea frutescens), senduduk putih (Melastoma decemfidum), belalai gajah (Clinacanthus nutans), mengkudu (Morinda citrifolia), hempedu bumi (Andrographis paniculata), misai kucing (Orthosiphon stamineus), sambung nyawa (Gynura procumbens) dan pecah beling ( Strobilanthes crispus).

Menyifatkan ia sebagai suatu penghargaan kepada penduduk kampung khususnya ahli PPKS sendiri, Pengerusinya Datuk Md Ismail Hamdan berkata platform berkenaan perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam mengembangkan punca ekonomi penduduk setempat.

“Dalam PPKS ada banyak kategori. Selain tanaman herba ini, kita juga ada industri kecil dan sederhana (IKS), pengusaha bas dan lori, peniaga kedai, pengusaha bengkel motor dan basikal dan lain-lain lagi yang tujuannya bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk kampung.

“Bagi projek tanaman herba ini, kita memikirkan hasilnya untuk jangka masa panjang kerana ia mampu memberikan pulangan yang lumayan berdasarkan permintaan dan kajian yang telah dijalankan,” katanya.

Kampung Sagil terdiri daripada Kampung Parit 1, Parit 2, Parit 3, Conggo, Kurnia Jaya dan Melayu Raya.

Meskipun Plot Model Kampung Herba berkenaan ditempatkan di Kampung Parit 2, setiap penduduk kampung akan meraih peluang sama apabila hasilnya diagihkan kelak.

Meletakkan harapan agar projek berkenaan menjadi realiti sekaligus membuahkan hasil kepada penduduk kampung, Md Ismail turut berkata gelaran jutawan tidak mustahil boleh dicapai oleh penduduk kampung dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang sekiranya semua berjalan lancar.

“Saya pun tidak menyangka projek ini akan masuk ke sini. Jika difikirkan, andai segala usaha dan kesungguhan diletakkan betul-betul untuk projek ini kita penduduk kampung boleh jadi jutawan herba.

“Tidak mengapa kita bersusah-susah dahulu sebab projek ini untuk jangka masa panjang. Nanti bila dah nampak hasil, mungkin tak menang tangan untuk melayan permintaan,” katanya sambil menambah jumlah peserta terlibat akan ditambah dari semasa ke semasa.

Md Ismail pada masa sama turut berkongsi tanaman herba Kacip Fatimah yang dijalankan secara perladangan kontrak bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebelum ini, dijangka mengeluarkan hasil pada April tahun hadapan.

Turut melibatkan 10 pengusaha daripada PPKS, hasil tuaian Kacip Fatimah basah itu dianggarkan antara 2,000 dan 5,000 kilogram bagi setiap hektar tanaman dengan pulangan boleh mencecah hampir RM 100,000 bagi satu hektar.

PASARAN TERJAMIN
​​​​​​​
Seorang peserta projek, Saharudin Basir, 42, berkata beliau sebelum ini mengusahakan tanaman sayur-sayuran seperti kacang panjang dan timun sebelum terlibat dengan tanaman herba Kacip Fatimah dan seterusnya ladang herba berkenaan.

Bermula dengan dua ekar beliau kini mempunyai 50 ekar tanah kebun di kampung itu.

“Saya pernah meraih Anugerah Kelompok Petani Berjaya Peringkat Kebangsaan pada 2009 dan bermula dari situ saya diberi kepercayaan untuk terlibat dengan tanaman herba Kacip Fatimah.

“Apa yang mendorong saya untuk turut serta dalam projek tanaman Kacip Fatimah dan ladang herba ini ialah pasaran yang terjamin yang membuatkan kita lebih yakin dan tidak takut-takut untuk menyertainya. Kita juga boleh buat anggaran pulangan pendapatan yang boleh diraih kerana Kacip Fatimah sebagai contoh jarang kita lihat dijalankan secara komersial,” katanya.

Saharudin pada masa sama menambah untuk permulaan beliau telah menanam herba Kacip Fatimah seluas setengah ekar di kebun milik beliau bagi menggalakkan pembiakan benih.

Beliau juga mengeluarkan belanja sendiri sekitar RM4,000 untuk tujuan ‘piping’ dan lain-lain selain menerima bantuan modal dan benih dari pihak FRIM.

“Untuk penjagaan saya pakai baja organik, sebagai contoh baja buah busuk dan bagi mengawal serangga perosak pula saya gunakan bawang putih, serai, cili api yang dicampur disembur kepada tanaman. Jika menggunakan baja najis haiwan ia akan beri kesan kepada kualiti herba lagipun baja kimia tidak sesuai digunakan kerana ini tanaman herba,” katanya sambil mengharapkan projek ladang herba ini berkembang maju dan lebih ramai peserta berminat untuk menyertai.

Seorang lagi peserta, Mohd Zul Kamarudin, 42, berkata jaminan pendapatan lumayan yang mampu diperoleh membuatkan beliau tekad untuk menyertai projek berkenaan.

“Masa hadapan dalam projek ini memang cerah, jadi saya sertai untuk jana lebih pendapatan,” katanya. – BERNAMA

Tags: Tanaman Herba
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

No Content Available
MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd