JAKARTA – Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata beliau sedih dengan jawapan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam surat terhadap beliau berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu mengenai orang Bugis yang dikaitkan dengan lanun.
Kenyataan Dr. Mahathir itu telah menimbulkan rasa kurang senang orang Bugis di Indonesia, sehinggakan Kedutaan Malaysia di Indonesia terpaksa meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kedutaan dan langkah itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Kementerian Luar Negeri Indonesia.
Kedutaan itu turut menerima memorandum daripada Perhimpunan Pemuda Bugis Makassar Indonesia pada 20 Oktober lepas menyatakan rasa marah mereka terhadap kenyataan Dr. Mahathir.
Menyedari tanggungjawabnya sebagai Duta Besar Malaysia di Indonesia dalam menjaga kaharmonian kedua-dua negara, Zahrain telah mengambil inisiatif mengutus surat kepada Dr. Mahathir pada 23 Oktober lepas supaya Dr. Mahathir mengambil langkah sewajarnya untuk menjernihkan hubungan Malaysia dan Indonesia.
“(Namun) saya sedih dengan jawapan (surat) daripada seorang negarawan,” kata Zahrain kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata jawapan Dr. Mahathir dalam surat bertarikh 1 November bukan sahaja tidak memohon maaf, malah berterusan memburuk-burukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dr. Mahathir juga meminta supaya orang Indonesia tidak ‘’dihasut’’ dalam isu berkenaan kerana katanya: “Mereka (orang Indonesia) tidak boleh mengundi dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14 nanti).”
Dr. Mahathir ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran parti-parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Oktober lepas cuba mengaitkan keturunan Najib sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis.
Perkara itu turut mendapat reaksi Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla yang mengaku tersinggung dan berasa terhina dengan kenyataan tersebut.
Baru-baru ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memandang serius, murka dan amat kecewa dengan kenyataan Dr. Mahathir itu yang dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis. – BERNAMA