MELAKA – Kerajaan negeri Melaka telah memperuntukkan kira-kira RM10 juta bagi membangunkan Pasar Transit Melaka di Jalan Fatimah, Bachang di sini termasuk menyediakan pelbagai kemudahan asas untuk keselesaan peniaga dan rakyat negeri ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ismail Othman berkata berdasarkan maklum balas yang diterima, orang ramai rata-rata berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan namun pihaknya akan sentiasa memantau situasi semasa pasar itu.
“Kita meminta peniaga yang mempunyai sebarang masalah atau pandangan untuk menambah baik pengoperasian pasar transit ini diminta bersabar dan mengutarakannya kepada pihak MBMB (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) untuk tindakan lanjut.
“MBMB juga sedang melaksanakan pemantauan berkala di sekitar pasar berkenaan bagi mengenal pasti kekurangan atau kemudahan yang perlu untuk kerja penambahbaikan,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke pasar transit itu di sini, hari ini.
Sebelum ini Bernama melaporkan permintaan peniaga agar pihak bertanggungjawab antaranya MBMB supaya segera menambah baik kemudahan bagi memberi lebih keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pasar itu.
Ismail berkata antara isu yang akan diberi perhatian termasuk sistem perparitan, papan penunjuk arah bagi gerai, parkir kereta dan penyusunan peniaga.
Katanya pasar yang dibina bagi menggantikan Pasar Besar Melaka Sentral di Peringgit itu menyediakan kemudahan termasuk 311 unit ruang niaga, 46 ‘penyejuk beku’ dan ‘pendingin’ untuk keperluan peniaga khususnya yang menjual sayur-sayuran, surau dan tandas.
Beliau berkata pasar transit yang dibina di tapak seluas 1.86 hektar itu dan mula beroperasi 1 Nov lepas turut menyediakan 232 parkir kereta, 219 parkir motosikal, dua stor ais dan tempat pemunggahan barangan.
Sementara itu, katanya dalam tempoh dua minggu sejak 1 Nov lepas, bekalan elektrik dan air dibekalkan kepada peniaga secara percuma sehingga proses pendaftaran meter individu selesai dipasang Syarikat Air Melaka Berhad dan Tenaga Nasional Berhad.
“Sewa percuma RM240 hingga RM600 selama sebulan buat bulan pertama juga diberikan kepada peniaga bagi membantu mereka meringankan kos pemindahan dan pengoperasian dari Pasar Besar Melaka Sentral ke sini,” katanya.
Ismail berkata peniaga boleh membuat kerja-kerja penambahbaikan pada gerai masing-masing termasuk memasang jubin tetapi ia perlu dirujuk kepada pihak MBMB bagi memastikan penyeragaman dapat dikekalkan dan pasar berkenaan dijangka dapat beroperasi sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun.
Dalam pada itu, berkata berkata kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) berkaitan kerosakan struktur bangunan Pasar Besar Melaka Sentral yang mengalami masalah teknikal sehingga tidak selamat diduduki.
“Laporan daripada Ikram sebelum ini tidak terperinci dan kita telah meminta mereka untuk mengemas kini laporan berkenaan dan ia dijangka dapat diperolehi pada hujung bulan depan,” katanya.
Beliau berkata selain menunggu laporan tersebut, MBMB juga ada membuat beberapa ujian termasuk mengenal pasti lapisan tanah di bawah tapar pasar berkenaan dan kedua-dua laporan tersebut akan dikumpul untuk diteliti bagi tindakan seterusnya.
Katanya tapak pasar itu tetap akan dibangunkan dengan sebuah pasar moden dan khabar angin tanah berkenaan telah dijual kepada pihak luar adalah tidak benar sama sekali. – BERNAMA