PASIR SALAK – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengeluarkan permit import kepada pembekal yang berhasrat membawa masuk bekalan bagi mengatasi kekurangan produk pertanian terutamanya pada musim tengkujuh sekarang.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pihaknya mengalu-alukan para pembekal untuk memohon permit tersebut bagi membantu menambah bekalan pasaran yang terjejas.
“Tiada masalah buat sesiapa yang nak import produk seperti sayur-sayuran, daging ataupun ayam. Kita akan beri permit import kepada mereka supaya kekurangan bekalan itu dapat kita tampung,” katanya.
Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Arena Square dan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Seberang Perak di Changkat Lada di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang SM Mohamed Idris yang mendakwa harga sayuran, buah-buahan dan ikan meningkat sehingga 300 peratus akibat kekurangan bekalan susulan banjir kilat.
Tajuddin berkata kekurangan bekalan seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan ketika ini timbul kerana bencana banjir yang berlaku baru-baru ini dan ia memerlukan masa untuk pulih.
“Kita prihatin dengan masalah tersebut dan telah mengambil langkah segera mengimport bekalan, tetapi kawalan tetap dibuat bagi mengelakkan petani dan penternak tempatan terjejas dengan kemasukan produk import,” katanya. – BERNAMA