JOHOR BAHRU – Hujan turun dengan lebat pagi tadi, namun lebih 1,500 penyokong skuad Harimau Selatan tidak berganjak untuk menaiki bas bagi memulakan perjalanan menuju Stadium Shah Alam.
Tinjauan Bernama di perkarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin pada pukul 7 pagi tadi, tersedia 35 bas untuk membawa para penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Shah Alam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Kedah malam ini.
Noorazlinad Hassan, 31, berkata dia dan rakannya nekad ke Shah Alam bagi memberi sokongan padu kepada JDT.
Sudah tentu dia mendambakan kemenangan JDT.
“Mesti memang kerana JDT merupakan pasukan yang kuat,” katanya.
“Kami gembira untuk ke sana dan diharap semangat ini dapat menyemarakkan lagi keinginan JDT untuk menang,” kata pula Ahmad Suhaimi Kamar, 50. – BERNAMA