LANGKAWI – Seorang pakar sains senaman hari ini menyarankan agar kerajaan menguatkuasakan undang-undang khusus berkaitan kecergasan bagi mengawal selia ahli terapi senaman di negara ini.
Dr Lee Chee Peng berkata di bawah undang-undang itu, ahli terapi senaman boleh berdaftar dan diberi pentauliahan untuk mengadakan kelas senaman yang terbukti dapat membantu mencegah penyakit-penyakit kronik.
“Terapi senaman yang tepat dapat membantu mencegah empat penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu hipertensi, diabetes, obesiti dan ‘dyslipidemia’ (jumlah kolestrol dan/atau lemak yang tidak normal dalam darah).
“Terapi senaman boleh menghasilkan perubahan positif kepada tubuh manusia jika dilakukan dalam dos yang tepat,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dunia mengenai Perubatan Senaman yang pertama di sini hari ini.
Dr Lee yang merupakan Naib Pengerusi persidangan itu, berkata sebelum ini rang undang-undang kecergasan kebangsaan pernah dibentangkan dua kali di Parlimen pada 2008 namun gagal direalisasikan.
Terapi senaman merupakan regimen aktiviti fizikal yang direka untuk mencapai tujuan terapeutik khusus.
Ia juga digunakan untuk memulihkan fungsi muskuloskeletal atau mengurangkan rasa sakit disebabkan penyakit atau kecederaan.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan berjaya menjalankan kajian perintis mengenai sains senaman di tujuh klinik kesihatan pada 2012 dan 2013.
Persidangan tiga hari itu yang berakhir hari ini menghimpunkan 27 saintis senaman, doktor, ahli terapi dan jurulatih dari pelbagai negara bagi membincangkan tentang perubatan senaman yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Mengulas perkembangan lain, Dr Lee berkata sebuah jawatankuasa saintifik antarabangsa mengenai perubatan senaman ditubuhkan hari ini dianggotai pakar-pakar dari pelbagai negara bagi mengawal selia perubatan senaman. – BERNAMA