ZIRA Ayub yang merupakan isteri kepada pengacara, Nabil Ahmad mengakui turut terkena tempias apabila netizen melemparkan cemuhan negatif terhadap suaminya.
Ia melibatkan isu kritikan terhadap gaya Nabil dalam mengacarakan sebuah program realiti terbitan Astro Ria iaitu Gegar Vaganza (GV) musim keempat baru-baru ini.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nazirah Ayub dilihat bersikap profesional dengan tetap berfikiran positif dan tidak mudah melatah.
“Semestinya sebagai isteri, saya turut terkena tempias apabila orang di luar sana mempertikaikan kerja Nabil.
“Namun, saya memandangnya dari segi positif dan menetapkan minda, ia hanyalah sebuah program televisyen,” katanya memetik BH Online.
Tambahnya lagi, dia lebih memilih untuk tidak masuk campur dalam urusan kerjaya anak jati kelahiran Negeri Sembilan berkenaan.
“Begitupun, ada di kalangan netizen yang sengaja ingin menjatuhkan dengan melemparkan sesuatu kata-kata tanpa asas. Jadi, saya memilih untuk mengetepikan komen sebegitu.
“Namun, kritikan membina yang dapat membantu perkembangan kerjaya, saya jadikannya sebagai panduan atau rujukan.
“Sebagai pengacara, penting untuk seseorang menjadi dirinya sendiri, namun tetap memastikan sesebuah majlis atau acara lebih meriah dengan kreativiti tersendiri,” tambah Zira lagi.
Terdahulu, Nabil teruk menerima kecaman apabila jenaka spontan yang dibuat olehnya dianggap menyinggung sensitiviti sesetengah pihak.
Susulan perkara itu, Nabil teruk dikritik oleh segelintir pihak. Antaranya cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra dengan sapaan Chef Wan.
Chef Wan telah menegur gaya pengacaraan Nabil yang dianggap seolah-olah keterlaluan sehingga membataskan percakapan juri untuk memberi komen.
Baca: Pengacaraan Nabil Dan Jihan Di Gegar Vaganza Dikritik?
Dalam satu kejadian yang lain pula, pengacara ini turut dikecam kerana membuat ‘gurauan’ keterlaluan terhadap penyanyi lagu Sonata Musim Salju, Hazami.
Namun, isu itu sudah selesa dan Hazami mengingatkan Nabil supaya lebih berhati-hati dengan gurauan yang boleh menimbulkan lagi kontroversi pada masa akan datang.
Juga: Hazami Pesan Supaya Nabil Lebih Hati-Hati
Dah habis part tu, timbul pula satu lagi isu di mana Chef Wan menegur cara pengacaraan Nabil buat kali yang kedua menerusi satu posting di Instagram miliknya.
Namun, Nabil tidak berdiam diri sebaliknya ‘membalas’ teguran itu dengan memuat naik satu video yang meluahkan rasa kekecewaannya berkaitan perkara tersebut.
Lagi: Chef Wan Tuduh Nabil Jadi Perosak Bangsa?
Alahai… Yang sorang macam ni, sorang lagi macam tu. Bila agaknya nak selesai isu ni ya? Tak pasal-pasal dengan bini sekali kena tempias. – MYNEWSHUB.CC/AM