ALOR SETAR – Seorang konstabel polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan Taman Nabira, Jalan Hutan Kampung di sini, pagi tadi.
Mohd Azlan Amizan, 23 yang bertugas di Balai Polis Kepala Batas maut di tempat kejadian dalam nahas 7.25 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata kejadian berlaku ketika keadaan hujan.
Mangsa menunggang motosikal dari arah Jalan Langgar ke Kepala Batas merempuh sebuah MPV yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun yang keluar dari persimpangan Taman Nabira secara tiba-tiba, katanya ketika dihubungi.
“Mangsa tidak dapat mengelak kenderaan tersebut menyebabkan dia merempuh kuat dan maut di tempat kejadian,” katanya menambah kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu menyebabkan kematian.
Sementara itu, abang mangsa Mohd Ariff, 25 berkata arwah adiknya adalah anak keenam daripada tujuh beradik dan merupakan seorang yang pendiam namun sangat meminati pasukan polis sejak kecil.
“Arwah juga sering pulang kampung sejak kebelakangan ini berbanding sebelum ini yang jarang-jarang balik kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Katanya arwah turut merancang untuk bernikah dengan teman wanitanya Wizirah Marzuki, 32 yang juga anggota polis bertugas di balai polis sama, tahun depan.
Mohd Ariff berkata jenazah adiknya itu akan dikebumikan di kampung mereka di Kampung Wai, Kuala Perlis selepas solat asar petang ini. – BERNAMA

