KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dilantik secara sebulat suara sebagai penaung Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (PARFUM) pada mesyuarat agung tahunan pertamanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Kehormat PARFUM Datin Grace Xavier berkata mesyuarat yang berlangsung semalam itu turut melantik beberapa individu untuk memegang jawatan dalam persatuan termasuk bekas menteri Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Presiden dan peguam terkemuka Tan Sri Shafee Abdullah sebagai Naib Presiden.
Raus merupakan alumni Universiti Malaya yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-undang pada 1978 dan memperoleh ijazah Sarjana Undang-undang daripada London School of Economics pada 1987.
Fakulti Undang-undang universiti itu ditubuhkan pada 1972 dan ramai alumninya kini merupakan individu terkemuka dalam semua sektor. – BERNAMA