BANDAR SERI BEGAWAN – Rundingan Tahunan Pemimpin ke-21 Malaysia-Brunei hari ini menyaksikan pemeteraian ‘Perjanjian-Perjanjian Rangka Kerja Unitisasi’, yang pada dasarnya akan memuktamadkan peratusan hasil yang akan dimiliki Petronas di empat medan minyak dan gas, sekitar pertengahan tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perjanjian itu ditandatangani oleh syarikat minyak negara Petronas, dan Sekretariat Unitisasi Kebangsaan Brunei, di penghujung sesi rundingan tahunan pemimpin di Istana Nurul Iman di sini.
Berdasarkan kenyataan bersama yang dikeluarkan, empat medan yang dimaksudkan terdiri daripada Kinabalu West (NAG) (KN) dan Maharajalela North Fields (MLJ), serta Gumusut /Kakap (GK) dan Geronggong/Jagus–East (GRG/JGE).
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Najib berkata selain itu, rundingan tahunan ini turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman berkaitan pelancongan.
Katanya dalam pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah sebelum itu, beliau (Najib) mencadangkan supaya Brunei yang ketika ini menjadi pemerhati kepada kerjasama tiga pihak antara Malaysia, Indonesia dan Filipina, supaya menyertai sepenuhnya kerjasama dalam bidang pertahanan itu.
Perdana Menteri berkata beliau melihat cadangannya itu mendapat pertimbangan yang cukup baik di pihak Brunei.
Najib berkata perbincangan turut berkisar kepada sempadan maritim dan keperluan bagi mengukur sempadan darat, di mana pencapaian setakat ini hanya sekitar lima atau enam peratus sahaja, sedangkan banyak lagi kawasan, sepanjang kira-kira 528km, yang masih perlu dimuktamadkan sempadannya.
“Masalahnya kekurangan tenaga kerja di lapangan yang perlu ditambah lagi. Perkara itu diterima baik oleh kerajaan Brunei untuk dipertimbangkan. Begitu juga dengan akses kepada kawasan perikanan tradisional, ia turut dipersetujui,” katanya.
Perdana Menteri berkata perbincangan dengan baginda Sultan juga berkisar kepada perkembangan di wilayah Rakhine, perkembangan di Timur Tengah, hubungan dengan negara-negara kuasa besar, dan berkaitan etnik Rohingya.
Perdana Menteri yang tiba di Brunei semalam, dijangka berlepas pulang petang ini. – BERNAMA