SINGAPURA – Hanya kerana satu objek mencurigakan ditemui di Penang Road di sini pada petang Jumaat, lalu lintas di kawasan itu terpaksa dikepung beberapa ketika oleh enam buah kereta polis.
“Kami sedang menangani kes barangan mencurigakan yang dilaporkan di Penang Road,” dedah polis Singapura dalam catatannya menerusi laman Twitter yang dipetik stesen penyiaran tempatan, Channel NewsAsia.
Mereka juga meminta orang ramai untuk mengelak daripada cuba melalui kawasan tersebut dan pada masa yang sama tidak pula mengeluarkan sebarang spekulasi terhadap kes tersebut.
Dalam pada itu, agensi berita Mediacorp difahamkan bahawa barangan berbentuk bom tangan itu dijumpai di luar Singapore Shopping Centre di persimpangan Penang Lane dan Penang Road.

Ini sekali gus menyebabkan Penang Lane ditutup kepada laluan trafik. Simpang berhampiran Orchard Road dan Penang Lane juga sudah pun dikepung, menyebabkan halangan kepada lalu lintas.
Pihak polis mendedahkan bahawa Penang Lane sudahpun ditutup bagi “memudahkan operasi polis”. Seorang saksi mengatakan dia ternampak kehadiran enam kereta polis di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini, polis mengesahkan bahawa objek yang konon mencurigakan itu sebenarnya adalah sejenis mainan yang secara kebetulan berbentuk grened.
Dalam catatan terbaharu menerusi Twitter pada pukul 5.20 petang, polis turut menyatakan bahawa Penang Lane sudah dibuka semula kepada lalu lintas. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

