KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tujuh lelaki berumur lingkungan 18 hingga 48 tahun kerana disyaki memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan di Pulau Mantanani Kecil, awal pagi tadi.
Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata kesemua lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu ditahan di Jeti Mari-Mari, Pulau Mantanani kira-kira 2.30 pagi tadi.
“Semasa ditahan, anggota yang sedang menjalankan Op Khas di perairan berkenaan terlihat lima bot pam di kawasan jeti itu. Apabila diperiksa, kesemua bot didapati memiliki peralatan yang dipercayai bahan letupan untuk kegiatan bom ikan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap bot itu menemukan kira-kira 200 kilogram pelbagai jenis ikan dan kesemua ikan tersebut diserahkan kepada Jabatan Perikanan Sabah untuk ujian sama ada ia diperolehi menggunakan bahan letupan.
Mohd Zubil berkata kes itu disiasat disiasat mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya memandang serius kegiatan ini dan operasi secara berterusan akan dilakukan bagi membendung gejala tersebut.
“Sehubungan itu, saya meminta orang ramai memberi maklumat berkenaan kegiatan pengeboman ikan bagi memastikan perairan kita bebas daripada sebarang kegiatan jenayah khususnya membabitkan pengeboman ikan,” katanya. – BERNAMA