NILAI – Kementerian Pendidikan akan menaik taraf 1,000 sekolah di seluruh negara dengan Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad ke-21 mulai tahun depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad berkata setiap sekolah akan menerima dua kelas yang dinaik taraf menjadi kelas pintar mengikut kriteria yang ditetapkan oleh kementerian.
“Buat masa ini, 1,000 sekolah tersebut masih dalam proses pemilihan berdasarkan kriteria yang ditetapkan seperti capaian Internet di kawasan tersebut.
“Kita bekerjasama dengan jabatan pendidikan negeri dalam menentukan sekolah mana yang yang layak untuk dinaik taraf,” katanya kepada pemberita selepas lawatan rasminya ke kelas pembelajaran abad ke-21 dan bilik darjah masa depan di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Bandar Enstek dekat sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Amin Senin dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan) Aminudin Adam.
Alias berkata kelajuan Internet di sesuatu kawasan adalah antara kriteria penting yang diambil kira bagi memastikan kelancaran pembelajaran.
Beliau berkata hasil lawatannya ke TKC mendapati sekolah berasrama penuh itu boleh dijadikan model untuk pihaknya meneliti beberapa aspek yang dapat membantu dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan datang.
“Kita tidak ambil model sepenuhnya di sini tetapi sebahagian kaedah dan juga PdP yang dijalankan di TKC boleh kita kemukakan kepada kementerian untuk menteri buat keputusan nanti,” katanya. – BERNAMA