SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yakin jumlah pengundi yang berdaftar di negeri itu akan melebihi 600,000 orang pada suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, setakat pertengahan tahun ini terdapat 598,000 pengundi berdaftar berbanding 555,000 pengundi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
“Terdapat pertambahan lebih 42,000 pengundi berbanding PRU yang lepas dan daripada jumlah tersebut, 30,000 adalah pengundi Melayu.
“Ini hasil kerja UMNO dan Wanita UMNO yang bergerak dan berusaha untuk menambah pengundi di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat majlis kerajaan negeri di sini hari ini.
Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata pihaknya sentiasa membuat semakan dengan SPR berkenaan jumlah pengundi berdaftar dan membandingkannya dengan keanggotaan UMNO.
“Kita di pihak UMNO akan sentiasa menyemak senarai ahli UMNO, terutama Pemuda dan Puteri, yang cukup umur 21 tahun dan membantu mereka untuk berdaftar sebagai pengundi.
“Mereka ni masuk UMNO pada usia 18 tahun dan bila cukup umur 21 tahun, ada antara mereka yang lupa untuk daftar sebagai pengundi,” katanya. – BERNAMA

