Wednesday, May 22, 2024

Creating liberating content

Peguam Slobodan Milosevic Dibunuh

PEGUAM kepada Slobodan Milosevic yang dikenali sebagai penjenayah perang Serbia mati ditembak di...

Anak Murid Marcelo Bielsa...

JOHOR BAHRU : Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan Hector Pablo...

Bekas Pengerusi NGO Mengaku...

JOHOR BAHARU - Bekas Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Cawangan Maokil 2,...

Keputusan BN Gabung Parti...

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada BN akan bergabung dengan parti lain sekiranya...

Baba & Nyonya Bukan Sekadar Produk Pelancongan

MELAKA – Budaya Baba dan Nyonya yang sinonim dengan negeri ini bukan sekadar satu produk pelancongan sahaja.

Malah, ia adalah komponen penting warisan Melaka, seperti kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, bahawa kehilangan budaya Peranakan adalah ibarat “tubuh yang hilang anggotanya”.

Bercakap pada satu majlis pelancongan di sini baru-baru ini, Mohamed Nazri berkata kementeriannya bertekad untuk terus memelihara budaya masyarakat berkenaan memandangkan “ia adalah komponen penting dalam masyarakat kita dan perlu dipertahankan agar tidak lenyap pada masa hadapan”.

Masyarakat Baba dan Nyonya, yang juga dikenali sebagai Cina Selat atau Peranakan, terdiri daripada keturunan Cina yang datang ke kepulauan Melayu dan Indonesia atau Nusantara antara abad ke-15 dan ke-17.

Budaya Peranakan wujud hasil daripada perkahwinan campur antara para pendatang Cina dengan orang Melayu tempatan.
Masyarakat Peranakan mempunyai masakan, muzik dan pakaian yang tersendiri. Mereka terkenal dengan nyanyian lagu-lagu cinta yang dikenali sebagai “Dondang Sayang”, kebaya Nyonya dan terompah manik.

Budaya Baba dan Nyonya telah menjadi sebahagian daripada identiti Melaka. Dengan kata lain, tanpa komuniti yang unik ini, Melaka pastinya berbeza.

WARISAN TIDAK NYATA

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron juga bersetuju bahawa budaya Peranakan adalah bahagian penting daripada warisan negeri ini dan kewujudannya adalah antara elemen-elemen yang turut menyumbang sehingga Melaka disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2008.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata Melaka jadi istimewa dengan adanya warisan-warisan tidak nyata milik masyarakat Baba dan Nyonya serta Chetti selain bahasa, pakaian dan aksesori seperti terompah manik.

Melaka mempunyai banyak struktur sejarah seperti kubu Portugis A’Famosa dan bangunan buatan Belanda seperti The Stadthuys tetapi, tambah ketua menteri itu, estetika semata-mata bukanlah penyumbang besar kelayakan Melaka tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Jangan salah tafsir kata-kata saya, estetika bangunan juga turut menyumbang kepada pengiktirafan negeri ini ke dalam senarai itu tetapi warisan tidak ketara seperti budaya Baba dan Nyonya juga memainkan peranan besar.

“Seperti yang dapat kita lihat, tapak-tapak bersejarah lain di dunia ini juga mempunyai pelbagai bangunan yang cantik tetapi Melaka mempunyai (kelebihan tambahan) warisan tidak nyata yang membuatkan kita istimewa,” katanya.


KUBU BUDAYA PERANAKAN

Keunikan masyarakat Peranakan adalah hasil keupayaan mereka untuk berpadu dengan masyarakat setempat dan mewujudkan budaya istimewa yang tersendiri.
Idris berkata, budaya seperti Baba dan Nyonya membantu menjadikan Melaka dan Malaysia sangat unik, oleh itu, perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

“Jika masyarakat Baba dan Nyonya terancam atau, lebih buruk lagi, lenyap, kita akan hilang nilai budaya yang telah membantu membentuk negeri ini.

“Kami akan memastikan Melaka menjadi kubu bagi masyarakat Baba dan Nyonya,” tegasnya.

Presiden Persatuan Peranakan Singapura, Peter Wee, yang berada di Melaka pada Ogos semasa pelancaran bukunya yang berjudul “A Baba Album”, berkata walaupun berasal dari Singapura, beliau merasa bagaikan berada di rumah sendiri apabila berada di Melaka kerana wujudnya budaya Baba dan Nyonya yang kuat.

Beliau juga menghargai usaha berterusan kerajaan negeri untuk memelihara budaya itu.

“Peranakan sangat unik dari segi asal-usulnya yang berbilang kaum dan agama, dan kepelbagaian ini dapat dilihat begitu indah di Melaka.

“Saya menganggap Melaka sebagai sebahagian besar daripada saya,” katanya.

Wee menjelaskan bahawa sebab utama beliau menulis buku “A Baba Album” adalah untuk memberi lebih kesedaran mengenai kewujudan masyarakat Baba dan Nyonya dalam kalangan generasi muda.

“Saya mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan buku ini untuk generasi akan datang supaya ia dapat digunakan sebagai rujukan oleh anak kita untuk mengetahui mengenai budaya Peranakan,” katanya. – BERNAMA

Kategori