LAHAD DATU – Seorang warga emas maut dan empat lagi termasuk seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki bertembung kereta lain di Kilometer 45 Jalan Lahad Datu-Tungku dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata dalam kejadian 1.58 tengah hari itu mangsa Marisah Melantong, 60, maut di lokasi kejadian.
Mereka yang cedera parah ialah Rosli Matin, 23, Nurhanizah Lanjaihu, 12, dan Mohammad Arman Shah Abdullah,3, serta pemandu Nita Avelino, 40.
“Siasatan awal mendapati ia dipercayai berpunca daripada pemandu Perodua Axia yang hilang kawalan ketika di selekoh dan mula masuk ke lorong bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan.
“Kesemua mangsa dalam perjalanan ke Tungku manakala pemandu kereta jenis Proton Preve yang tidak mengalami kecederaan itu sedang menuju ke bandar Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

