Sunday, May 19, 2024

Creating liberating content

Kenapa KPM Lewat Agih...

DARI FB NAJIB RAZAKBANTUAN 150,000 unit peranti bagi murid-murid golongan B40 dilulus dalam...

Polis Cari Waris Mangsa...

MELAKA - Polis mencari waris seorang lelaki yang maut setelah terbabit dalam kemalangan...

Perbezaan Bahasa Tak Halang...

KUALA LUMPUR – Perbezaan bahasa tidak menjadi halangan bagi ketua jurulatih kebangsaan sementara...

Edry Cipta Lagu Datuk...

KOMPOSER Edry Abdul Halim memberitahu dia sengaja menggunakan strategi 'melakukan sesuatu agar ia...

Sultan Nazrin Seru Rakyat Amalkan Gaya Hidup Sihat

KUALA LUMPUR – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menggesa rakyat Malaysia meningkatkan usaha dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) dengan menekankan bahawa ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

Baginda bertitah amat perlu penyakit terbabit dicegah sedari awal sebelum terjadi dengan menangani faktor-faktor risiko utama, terutama merokok dan obesiti.

“Kami di Malaysia menerima kesan buruk epidemik ini. Dari segi mortaliti dan morbiditi disebabkan pelbagai jenis NCD meningkat secara berterusan dalam tempoh dua hingga tiga dekad lalu. Kematian berpunca daripada penyakit ini merangkumi lebih 70 peratus daripada jumlah keseluruhan,” titah baginda pada perasmian Kongres Persatuan Asia bagi Surgeri Vaskular ke-18, di sini hari ini.

Teks titah baginda dihantar ke Bernama di sini.

Sultan Nazrin Shah bertitah kondisi berkaitan vaskular menyumbang secara ketara kepada kematian dan penyakit yang dikaitkan dengan NCD dengan penyakit berkaitan kardiovaskular di Malaysia dianggar meningkat 40 peratus dalam tempoh sedekad lalu.

Titah baginda dianggarkan 80 peratus daripada semua jenis NCD dapat dielakkan dengan mengubah gaya hidup dan mengamalkan dasar-dasar pencegahan berkesan.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin Shah menggesa agar diadakan usaha untuk meningkatkan kefahaman tentang impak negatif terhadap kesihatan akibat diet yang tidak sihat, merokok dan alkohol dalam kalangan populasi berisiko, termasuk menerusi pendidikan kesihatan yang digubal dengan baik dan bersasar diiringi sekatan pengiklanan.


Sebagai contoh, larangan merokok di tempat awam yang dilaksanakan di banyak bandar raya di Eropah dan Amerika Utara, kurang popular pada peringkat awal namun ia memberikan kefahaman yang baik tentang faedah persekitaran awam bebas asap rokok.

Baginda juga bertitah peningkatan kefahaman tentang kesan asap rokok terhadap perokok pasif yang kebanyakannya adalah golongan isteri dan anak-anak perokok, turut membantu mengubah sikap terhadap kegiatan merokok.

“Impak positif larangan merokok di tempat awam dirasai serta-merta. Kesan secara langsung ialah penurunan masalah respiratori dalam kalangan kanak-kanak dan pekerja bar sebagai contoh, dan secara tidak langsung pula penurunan kemasukan ke hospital bagi penyakit-penyakit berkaitan merokok,” titah baginda.

Menurut baginda kajian mendapati kemasukan ke hospital bagi serangan jantung berkurangan secara purata 17 peratus setahun selepas larangan merokok dikuatkuasakan dan angka itu terus menurun 30 peratus lagi pada tahun ketiga pelaksanaan di bandar raya utama di lapan negara di Eropah dan Amerika.

Obesiti pula menyumbang secara langsung kira-kira 10 peratus kepada kematian global akibat NCD, titah Sultan Nazrin Shah yang mengusulkan pelabelan makanan yang lebih jelas serta kempen pengetahuan awam mengenai kepentingan diet sihat dan senaman. – BERNAMA

Kategori