KULIM – Kolej Komuniti Kulim yakin penganjuran Showcase Pelajar Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan secara tahunan mampu menjadi medium terbaik dalam mempersiapkan pelajarnya menghadapi realiti dunia pekerjaan pada masa akan datang.
Ketua Program Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan Nor Ridhwah Abdullah Sani berkata, showcase tahunan itu adalah usaha mengetengahkan hasil kerja pelajar Kolej Komuniti Kulim kepada golongan korporat.
“Ini adalah platform paling asas dalam melatih dan mendedahkan pelajar kepada penciptaan identiti korporat sesuatu produk baharu yang perlu memenuhi kriteria imej profesional.
“Ia penting bagi menonjolkan jenama baharu dan syarikat tersebut supaya dapat menarik minat dan meyakinkan pelanggan serta mampu bersaing dengan jenama-jenama lain yang berada di pasaran,” katanya kepada Bernama.
Nor Ridhwah berkata, elemen-elemen yang perlu ditonjolkan dalam setiap produk yang diperkenalkan oleh pelajar dalam showcase tersebut adalah logo, kepala surat, lencana butang, pelekat, risalah, gegantung, kad perniagaan dan video pendek pengiklanan.
Dalam pada itu, Pengarah Kolej Komuniti Kulim Ruzita Md Yusoff berkata pihaknya sentiasa proaktif untuk berkolaborasi dan bekerjasama dengan pihak industri bagi memberikan pendedahan awal kepada pelajar tentang persekitaran industri yang relevan dengan kursus-kursus yang dipelajari. – BERNAMA