ALOR SETAR – Seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM2,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Afifah Zainal Abidin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Afifah didakwa meminta suapan tersebut daripada Ahmad Termizi Mohd Izham menerusi panggilan telefon pada jam 11.40 pagi, 13 Dis 2015 semasa mangsa berada dalam bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alor Setar.
Ketika kejadian, tertuduh bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.
Suapan itu sebagai dorongan supaya tertuduh menangguh proses pertuduhan Ahmad Termizi di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima wang suapan itu daripada Ahmad Termizi di sebuah restoran di Jalan Pegawai di sini pada jam 12.10 tengah hari, 15 Dis 2015.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 21(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika didapati berrsalah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Afifah diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan bekerja tetap serta menetapkan 13 Nov ini bagi sebutan semula kes berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A.Hafiizh Abu Bakar manakala Afifah diwakili peguam, Ruzanna Abdul Rahim. – BERNAMA