PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang berhijrah ke luar negara mampu menyumbang kepada negara khususnya sebagai ejen rangkaian teknologi dana perniagaan baharu buat Malaysia, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata penghijrahan golongan profesional ke luar negara perlu dilihat dari sudut berbeza dan yakin mereka masih tetap sayangkan Malaysia.
Menurutnya pihak kerajaan akan sentiasa berhubung serta bekerjasama dengan mereka untuk memberikan yang terbaik kepada negara.
“Mereka berhijrah atas pelbagai sebab seperti mendapat peluang berbeza, mendirikan rumah tangga dan membina keluarga serta menuntut ilmu di luar negara. Ini bukan bermakna mereka tidak boleh menyumbang kepada Malaysia.
“Jadi kita perlu terus bina dan perkukuhkan rangkaian dengan diaspora rakyat Malaysia di luar negara untuk kebaikan bersama,” katanya dalam kenyataan mengenai sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di University College London, United Kingdom pada Ahad lepas.
Menurut kenyataan itu, Khairy yang dalam lawatan kerja di United Kingdom, berdialog dengan kira-kira 350 pelajar Malaysia di sekitar England dan mengumpulkan 38 aspirasi mereka menjelang 2050.
Pada Sabtu pula, beliau berkesempatan mengadakan dialog serupa dengan kira-kira 200 penuntut Malaysia di The University of Edinburgh, Scotland dan mengumpulkan 45 aspirasi pelajar di sana.
Khairy berkata beliau gembira dan berbangga dengan kualiti aspirasi yang telah dinyatakan oleh penuntut Malaysia di kedua-dua negara itu yang dilihat amat jelas dengan kemahuan mereka dalam membina negara bangsa yang lebih baik.
“Lawatan ini amat berbaloi kerana kualiti aspirasi mereka amat baik dan tepat seperti mahukan kemajuan yang lestari, penjagaan alam sekitar dan mahu Malaysia muncul sebagai negara maju di samping mengutamakan soal kesopanan dan etika dalamkalangan rakyat.
“Mereka juga mengutamakan soal silibus pendidikan yang terkini kerana kira-kira 60 peratus pekerjaan masa hadapan tidak wujud sekarang. Jadi mereka mahukan para pelajar di sekolah dilengkapkan dengan pendidikan yang terkini dan dinamik seperti pengaturcaraan,” jelasnya.
Sejak siri dialog TN50 dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari laepas, Kementerian Belia dan Sukan kini mengumpul lebih 80,000 aspirasi rakyat untuk didokumentasikan. – BERNAMA