KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaran agar ruang niaga diwujudkan untuk pelajar universiti memulakan perniagaan.
Baginda bertitah untuk merealisasikan cadangan itu, Biro Ekonomi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu bekerjasama dengan pihak universiti dan mula mencari lokasi bersesuaian untuk dijadikan ruang niaga.
“Ruang itu hendaklah dilengkapi dengan segala kemudahan asas ibarat sebuah pusat perniagaan seperti WiFi, mesin faksimili dan fotokopi serta bilik perbincangan.
“MPP hendaklah rujuk kepada pihak universiti untuk mendapatkan mana-mana ruang pejabat sedia ada yang tidak digunakan bagi mewujudkan kemudahan itu dan menawarkan kadar sewa meja minima,” titah baginda ketika merasmikan Festival Konvokesyen UniMAP Ke-12 (FestKon12) di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, di sini malam tadi.
Baginda bertitah dengan berkongsi ruang bekerja, para usahawan dapat sentiasa berbincang bagi memperkembangkan idea mereka dengan lebih pantas.
“Semua usahawan akur kepada pepatah ‘cuba dengan pantas dan gagal dengan pantas’, dan hal ini dapat dicapai dalam ruang bekerja yang dikongsi dengan selesa bersama-sama dengan parausahawan yang lain sepertimana telah dilaksanakan di bandaraya-bandaraya besar sebelum ini,” titah baginda.
Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pro Canselor UniMAP.
Tuanku Raja Muda yang juga Canselor UniMAP turut mengajak para mahasiswa memulakan idea perniagaan masing-masing di Perlis dan kemudian membawa idea mereka ke persada dunia.
“Dengan idea yang bernas, ahli kumpulan yang baik, persekitaran kerja yang tenang dan memberangsangkan yang boleh didapati di Perlis, kejayaan pasti milik mereka,” titah baginda.
Sempena FestKon12 yang bermula 25 hingga 30 Oktober ini, turut diadakan pelancaran wakaf Al-Quran kepada beberapa buah masjid dan maahad tahfiz, sumbangan dispenser air kepada kolej kediaman UniMAP dan penyerahan sumbangan daripada para penaja utama kepada pihak penganjur. – BERNAMA

