AMERIKA Syarikat (AS) boleh sahaja berlagak panik setiap kali berlaku tragedi pembunuhan massa. Media AS juga boleh berlagak dramatik dalam melaporkannya.
Ini termasuk mencari-cari apa sahaja sumber atau kaitan, bagi menjerumuskan konon ekstremis Islam sebagai antara suspek. AS bukan baru sekali bermandi darah.
Sama seperti dasar luarnya yang gemar campur tangan dalam perang di tanah asing, isu pembunuhan massa di AS sudah mencipta sejarah berdarah yang panjang.
Kita imbau saja tragedi terdekat sebelum insiden meragut 59 nyawa di Mandalay Bay, Las Vegas kelmarin. Kita lihat, apa ancaman sebenar menjadikan AS kerap digemparkan dengan kejadian keganasan domestik berskala besar.
12 Jun 2016, 15 bulan lalu, kejadian amukan membunuh 49 nyawa berlaku di sebuah kelab gay di Orlando, Florida. Penjenayah memiliki senjata berat bertaraf keperluan perang ketika menyerang dan melepaskan tembakan.
Seperti biasa, media AS heboh mengaitkan penyerang sebagai sel rangkaian Daesh, tanpa menyentuh isu sumber suspek mudah memperoleh senjata berat yang digunakan.
Pada Disember 2012, di Connecticut, remaja 20 tahun menembak mati ibunya di Newton sebelum menuju ke Sandy Hook Elementary School dan membunuh 26 mangsa. Sedihnya, 20 mangsa adalah kanak-kanak.
AS punya sejarah menakutkan di sekolah dan universiti. Pada April 2007, pelajar berusia 23 tahun mengamuk di Virginia Tech, salah sebuah universiti berprestij di AS.
Pembunuh berdarah Korea ini menembak mati 27 pelajar sebelum membunuh diri.
Kalau hendak diselidik, rentetan jenayah pembunuhan massa di AS sejak tahun 2000 sahaja telah mencatatkan 8 kejadian pembunuhan masa dengan 181 kematian. Ini tidak termasuk kes terkini di Las Vegas kelmarin.
Dalam kejadian di Las Vegas, seorang veteran dan penjudi tegar berusia 64 tahun, Steven Paddock, menjuruskan trend pembunuhan dengan petunjuk yang sama.
Persoalannya tetap isu lama: Bagaimana Paddock memiliki jumlah senjata api yang banyak dan diperoleh mudah secara berlesen? Ini juga digunakan pemegang lesen itu, untuk membunuh secara kejam.
Tahukah anda Paddock memiliki 40 jenis senjata api? Semuanya ditemukan di tiga lokasi serbuan setelah identiti pembunuh kejam ini dikenal pasti.
Lebih menyedihkan, Paddock memiliki 40 jenis senjata api ini secara sah. Siasatan menunjukkan, kerana Paddock tidak memiliki rekod jenayah, dia boleh membeli senjata api sesuka hati.
Mengikut undang-undang Nevada, lesen memiliki layak diberikan. Ini kerana dasar di AS, orang yang bersih rekod jenayah, boleh memiliki senjata api.
Belum ada maklaumat mengenai jenis senjata api yang digunakan Paddock ketika melalukan serangan. Ada laporan mengatakan, dua senjata ditemukan dalam bilik hotel tempat serangan dilancarkan.
Namun keupayaan senjata digunakan pasti bertaraf peperangan. Paddock menembak dari tingkat 32 Hotel Mandala Bay. Mengarahkan peluru pada 22 ribu penonton Konsert Muzik Country yang berhibur di seberang hotelnya.
Hanya 9 minit diperlukan untuk membunuh 59 orang dan mencederakan 527 yang lain. Tanyalah pakar senjata. Pasti jawapannya: Paddock menggunakan senjata berat yang canggih!
Sejak era Bill Clinton hingga Barack Obama, debat mengenai penjualan senjata api diperkatakan secara meluas di AS. Tetapi mengapa ia tidak diharamkan?
Jawabnya mudah: Senat dipengaruhi oleh industri senjata api. Senat memilih menyokong kapitalis industri. Akhirnya, harga yang perlu dibayar ialah melihat korban demi korban dalam kejadian yang menakutkan.
AS mencipta neraka sendiri. Selain pemilik bersih rekod jenayah, ada kes di mana penjenayah juga mampu memiliki senjata api.
Rujuk fakta kejadian serangan terhadap Gereja Afrika-Amerika di Charleston, Carolina Selatan pada 17 Jun 2015.
Dylann Roof berjaya membeli senjata api walaupun memiliki rekod jenayah dadah. Data mengatakan, penyenaraian namanya tidak dapat dikesan oleh penjual senjata api. Jadi, dia dianggap layak membeli.
Dylann akhirnya menggunakan senjata yang dimiliki secara sah itu untuk membunuh sembilan orang warga AS apabila dia mengamuk.
Sebuah negara berteknologi tinggi dengan penyenaraian penjenayah diselia di peringkat FBI pun, masih gagal mengawal penjenayah daripada memiliki senjata api.
Kerajaan AS dan media AS perlu berhenti berlagak terperanjat setiap kali terjadi insiden pembunuhan massa. Kenapa perlu terkejut, anda semua sudah lama tahu puncanya! – MYNEWSHUB.CC